X

Kindly register in order to view this article
!

Isu kalimah ALLAH: Semua pihak perlu bertenang

Abdul Hamid - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Polis meminta semua pihak bertenang dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah ALLAH dan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak yang masih tidak berpuas hati boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, perkara itu masih belum dimuktamadkan tetapi disensasikan segelintir pihak dan dijadikan isu politik.

"Ini merupakan satu kes yang sensitif. Selepas itu ada pihak yang salahgunakan kes ini seolah-olah ia menjadi satu kepentingan bagi satu agama untuk melawan satu lagi agama, ini tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis. Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalannya, Datuk Kaw Kok Chin.

Ahmad Hamid mengulas mengenai tindakan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap agama Kristian ekoran isu penggunaan kalimah ALLAH dalam satu video yang tular di media sosial.

Beliau berkata, semua pihak perlu yakin kepada institusi mahkamah yang menyelia proses undang-undang negara berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH dan tidak melakukan sendiri.

Menurut Abdul Hamid, wanita berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan kerana polis Sarawak menerima 37 laporan akibat perbuatannya

"Kata yang begitu pedih yang diluahkan dalam video tersebut menusuk hati satu pihak yang lain, itu saya katakan bawa bertenang, biarkan proses keadilan berjalan, berikan keyakinan kepada mahkamah, kerajaan sudah buat rayuan dan kita lihat apa hasilnya.

"Perbuatan wanita itu juga menerima banyak kritikan dan polis telah membuka kertas siasatan. Dia dipanggil untuk dirakam kenyataan dan dinilai Pejabat Peguam Negara sama ada akan didakwa atau sebaliknya," katanya.

Beliau menasihati masyarakat terutama pihak yang mempunyai idea pelampau agar tidak membelakangkan undang-undang kerana hanya akan membawa kehancuran dan paling utama kepada diri mereka sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan fail rayuan keputusan kes kalimah ALLAH


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!