Maritim Terengganu lupus 99 bot jadi tukun tiruan

Empat bot nelayan Vietnam yang ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Iman sepanjang tahun 2018 dan 2019 dilupuskan sebagai tukun tiruan di perairan Kuala Nerus.
Empat bot nelayan Vietnam yang ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Iman sepanjang tahun 2018 dan 2019 dilupuskan sebagai tukun tiruan di perairan Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 99 bot yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu telah dilucut hak dengan cara menenggelamkannya menjadi tukun tiruan di perairan Terengganu pada tahun lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, semua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM150 juta itu merupakan hasil rampasan dari pelbagai operasi yang dijalankan agensi itu di sepanjang perairan negeri ini.

"Kita jangkakan sebanyak 43 bot lagi akan ditenggelamkan menjadi tukun pada tahun ini selepas mendapat keputusan pelucutan hak daripada mahkamah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Bot Nelayan Asing di perairan Kuala Nerus pada Khamis.

Pada program itu, sebanyak empat bot nelayan Vietnam yang ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Iman sepanjang tahun 2018 serta 2019 dilupuskan sebagai tukun tiruan di perairan Kuala Nerus.

Pelupusan pertama bagi tahun 2021 itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (Ismat).

Muhammad Suffi (kiri) membunyikan hon sebagai simbolik kepada pelupusan bot yang dilucut hak menjadi tukun tiruan di perairan Kuala Nerus.
Muhammad Suffi (kiri) membunyikan hon sebagai simbolik kepada pelupusan bot yang dilucut hak menjadi tukun tiruan di perairan Kuala Nerus.

Menurut Muhammad Suffi, kaedah menenggelamkan bot sebagai tukun merupakan inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin selain simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara.

Beliau berkata, pelupusan bot dengan menjadikannya tukun tiruan merupakan kaedah terbaik dalam menjaga kelestarian marin kerana ia sudah melalui proses penyelidikan khusus oleh Ismat.

Artikel Berkaitan:

"Bot yang kita tenggelamkan ini adalah bot kayu disaluti fiber jadi ia sesuai dijadikan tukun tanpa menjejaskan ekosistem yang ada dalam lautan. Bot-bot ini juga kosong dan bebas daripada bahan yang boleh cemarkan laut.

"Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara.

"Kita harap komuniti maritim dapat membantu pasukan Maritim Malaysia dengan menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan sebarang maklumat ke MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia Terengganu di talian 09-6224357," katanya.