Permohonan Peter Anthony pindah kes ke Kota Kinabalu ditolak

Peter Anthony - Foto Bernama
Peter Anthony - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini.

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin yang menolak permohonan Peter untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, permohonan itu ditolak kerana Mahkamah Tinggi di sini tiada bidang kuasa untuk memindahkan kes berkenaan ke Kota Kinabalu.

“Oleh itu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen di sini akan bermula dari 5 hingga 9 April selain 19 hingga 23 April turut ditetapkan untuk bicara,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran permohonan untuk memindahkan kes di hadapan Aslam pada Khamis.

Wan Shaharuddin berkata, pihaknya berkemungkinan memanggil 12 saksi; antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ketika prosiding pada Khamis, Peter hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Peter memfailkan permohonan untuk memindahkan kes pada 6 Januari lepas atas alasan sebahagian daripada saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu berada di Sabah.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Artikel Berkaitan:

Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaboratif dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E) serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun tahun lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah Risda bernilai RM15,545,400. - Bernama