Pristine Offshore didakwa atas kesalahan rasuah

Sebuah syarikat penyewaan kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sha Alam hari ini atas tuduhan rasuah berhubung perolehan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lepas. - Bernama
Sebuah syarikat penyewaan kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sha Alam hari ini atas tuduhan rasuah berhubung perolehan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lepas. - Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah syarikat penyewaan kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan rasuah berhubung perolehan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lepas.

Pristine Offshore Sdn Bhd dituduh mengikut Seksyen 17A (1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sekali gus menjadi organisasi komersial pertama di negara ini yang didakwa di bawah seksyen itu sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Syarikat itu yang diwakili Pengarahnya, Datuk Abdul Kamal Mohd Mydeen, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Pristine Offshore melakukan kesalahan dengan bersekutu dengan pengarahnya ketika itu, Chew Ben Ben, 64, telah secara rasuah memberikan Ketua Pegawai Operasi Deleum Primera Sdn Bhd, Mazrin Ramli, 41, satu suapan bagi faedah dirinya wang berjumlah RM321,350 dengan niat untuk memperoleh subkontrak tersebut.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 29 Jun 2020 hingga 14 Oktober 2020 di Bandar Kinrara, Puchong yang boleh dihukum di bawah subseksyen 17A(2) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, syarikat tersebut boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau dipenjarakan hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Abdul Kamal mewakili Pristine Offshore mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah berhubung perolehan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lepas. - Foto Bernama
Abdul Kamal mewakili Pristine Offshore mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah berhubung perolehan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lepas. - Foto Bernama

Seksyen 17A akta itu (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menawarkan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin daripada kalangan pegawai syarikat tersebut, dan tawaran itu dipersetujui pihak tertuduh yang diwakili peguam Bernard Francis, Chong Ki Keong dan Azim Razak.

Hakim membenarkan tawaran itu.

Terdahulu di mahkamah sama, Ben Ben mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berkenaan.

Dia didakwa telah secara rasuah memberikan kepada Mazrin satu suapan bagi faedah dirinya wang berjumlah RM321,350 dengan niat untuk memperoleh subkontrak tersebut antara 29 Jun 2020 dan 14 Oktober 2020 di Bandar Kinrara, Puchong, menurut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang juga diwakili Ahmad Akram menawarkan ikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tawaran itu dibenarkan oleh mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili barisan peguam yang sama dengan syarikat itu memohon mahkamah memberikan tempoh pada atau hingga Isnin ini untuk Chew menyerahkan pasportnya.

Hakim membenarkan permohonan tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan kedua-dua kes disebut semula pada 21 Mei ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengarah syarikat ditahan disyaki beri rasuah RM321,350