Defisit fiskal dijangka cecah 6.0 peratus tahun ini: Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

PUTRAJAYA - Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat kepada 6.0 peratus tahun ini daripada unjuran awal 5.4 peratus susulan pelaksanaan pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau bagaimanapun menegaskan, negara berupaya untuk mengurangkan defisit fiskalnya sambil menambah Kementerian Kewangan akan terus menumpukan kepada agenda konsolidasi fiskalnya.

Tengku Zafrul berkata, negara merekodkan defisit fiskal 6.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2020.

"Buat masa ini, saya percaya penting untuk memastikan ekonomi negara terus berfungsi semasa tempoh krisis kesihatan ini,” katanya pada taklimat media di sini pada Khamis.

Menurutnya, peruntukan RM11 bilion bagi pakej Pemerkasa yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu akan dibiayai oleh pinjaman domestik.

"Kita juga merancang menerbitkan sukuk lestari hijau untuk membiayai semula bon dolar AS kita, yang tamat tempoh pada Julai. Kali ini kita membiayai semula dalam dolar AS dan bukannya ringgit,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, jumlah hutang asing negara ketika ini berada kurang daripada 3.0 peratus.

Beliau turut menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan telah menyalahi undang-undang kerana melanggar had statutori hutang langsung yang dinaikkan sendiri dan tersalah membuat unjuran fiskal.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, had statutori hutang langsung negara dijangka berada pada 58.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu masih di bawah had statutori hutang langsung yang ditetapkan pada 60 peratus.

Pada akhir Februari 2021, hutang langsung kepada KDNK negara berada pada paras 54 peratus manakala jumlah hutang keseluruhan pada tahap 57 peratus. - Bernama