Vaksin Sinovac selamat dan tidak perlu diragui

Khairy Jamaluddin ketika selesai menerima suntikan vaksin jenis Sinovac di Hospital Rembau.
Khairy Jamaluddin ketika selesai menerima suntikan vaksin jenis Sinovac di Hospital Rembau.
A
A
A

REMBAU - Vaksin Covid-19, Sinovac dari China adalah berkesan dan selamat untuk diambil oleh semua rakyat di negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata pihaknya percaya dengan keberkesanan dan kestabilan vaksin ini sama seperti vaksin Pfizer-BioNTech.

"Saya tawarkan diri menerima vaksin pertama jenis Sinovac ini atas prinsip kepercayaan terhadap proses penilaian dan keputusan yang dibuat oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), dalam memastikan tahap keselamatan, keberkesanan dan kestabilan vaksin yang diberikan di Malaysia iaitu Sinovac sama seperti Pfizer, adalah selamat, berkesan dan stabil untuk diambil.

"Sinovac tidak perlu diragui, ia akan menjadi sebahagian daripada program vaksinasi negara, dan lebih 60 juta dos suntikan vaksin Sinovac telah diberikan di seluruh dunia, perkara itu memberi keyakinan bahawa Sinovac diterima di peringkat global,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital Rembau dekat sini pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, yang menolak temujanji pemberian suntikan vaksin pada 6 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, beliau telah meminta tarikh temujanji yang baharu.

"Benar, Datuk Seri Najib telah membatalkan tarikh vaksinasinya, tetapi beliau telah meminta tarikh temujanji yang baru, jadi nanti kita berilah (tarikh temujanji baru),"katanya.

Khairy Jamaluddin merupakan individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac dari China, bersama 10 anggota barisan hadapan, yang dikendalikan oleh Vaksinator, Ketua Penyelia Jururawat, Hospital Rembau Salha Abd Samad.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu,melaporkan negara telah menerima sejumlah 100,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac pada Isnin lalu dan bakal menerima jumlah yang sama pada 22 Mac ini.

Vaksin Sinovac yang juga dikenali sebagai CoronaVac, diperoleh menerusi perjanjian bekalan meliputi sebanyak 14 juta dos.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan "Lindung Diri, Lindung Semua" dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Setakat ini, jumlah penerima suntikan v dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Malaysia, melebihi 360,000 orang, dan lebih 5.7 juta telah mendaftar.

Jumlah itu berjaya dicapai hanya dalam tempoh 21 hari sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.