Nak pinjam RM20,000 tapi lesap hampir RM20,000

Mangsa hanya mengikut sahaja arahan sebelum menyedari dia ditipu kerana mendapati caj dikenakan hampir sama banyak dengan jumlah yang ingin dipinjam.. Gambar hiasan 123RF
Mangsa hanya mengikut sahaja arahan sebelum menyedari dia ditipu kerana mendapati caj dikenakan hampir sama banyak dengan jumlah yang ingin dipinjam.. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga yang mahu membuat pinjaman perniagaan sebanyak RM20,000 terpaksa berputih mata apabila kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu sindiket pinjaman wang dalam kejadian pada 9 Mac lalu.

Lelaki berusia 39 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank sebelum mempromosikan pinjaman perniagaan yang ditawarkan di bank berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, teruja dengan tawaran pinjaman termasuk kadar faedah yang rendah menyebabkan mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju membuat pinjaman itu.

"Mangsa terus menghantar dokumen peribadi termasuk salinan kad pengenalan, salinan penyata Kumpulan Skim Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sijil perniagaan miliknya menerusi aplikasi WhatsApp untuk tujuan proses pinjaman.

"Sejurus dokumen penting diterima, suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam nombor akaun diberikan dengan alasan sebagai caj Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Suspek memaklumkan wang berkenaan tidak mencukupi dan meminta mangsa memasukkan lagi wang dengan memberi pelbagai alasan kononnya untuk caj pembayaran awal enam bulan pertama dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

M Zambri berkata, mangsa hanya mengikut sahaja arahan sebelum menyedari dia ditipu kerana mendapati caj dikenakan hampir sama banyak dengan jumlah yang ingin dipinjam.

"Selepas itu mangsa merasakan ada sesuatu yang tidak kena selain menyedari tindakan pihak bank meminta bayaran terlebih dahulu tidak logik lalu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," kata M Zambri.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama peniaga supaya lebih berhati-hati serta tidak mendedahkan maklumat sulit kepada individu atau syarikat yang mengaku menjadi pihak ketiga yang dilantik atau ejen daripada industri kewangan.

"Saya difahamkan institusi kewangan atau bank tidak melantik atau berurusan dengan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman.

"Sebaiknya, mereka yang ingin mendapatkan pembiayaan juga dinasihati menghubungi secara langsung bank atau institusi kewangan untuk memohon pinjaman bagi mengelakkan ditipu oleh sindiket tidak bertanggungjawab," katanya.