X

Kindly register in order to view this article
!

'Inilah Pahang' tema baharu pelancongan

Wan Rosdy sedang menampal pelekat tema 'Inilah Pahang' selepas menghadiri Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang di Tanjung Lumpur, pada Khamis.
A
A

KUANTAN - Penjenamaan semula tema Tourism Malaysia Pahang antara usaha progresif kerajaan Pahang merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 sejak tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha menjenamakan semula tema 'Inilah Pahang' atau 'This is Pahang' bagi menggantikan 'Pahang Simply Awesome' yang sudah digunakan sejak tahun 2019.

Menurutnya, ia juga merupakan langkah drastik yang diambil pemain industri pelancongan bagi menyelamatkan industri itu.

"Pada tahun lalu, sektor pelancongan Pahang mengalami kemerosotan sehingga 46.8 peratus dengan kerugian melebihi RM5 bilion.

"Jadi, pengenalan tema baharu 'Inilah Pahang' merupakan satu permulaan dan seterusnya akan banyak lagi promosi yang lebih rancak dari semasa ke semasa selepas masalah pandemik Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang di Tanjung Lumpur, pada Khamis.

Hadir Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Wan Rosdy berkata, banyak produk pelancongan di Pahang yang masih belum diteroka oleh pelancong dari dalam dan luar negeri.

Katanya, melalui pelancaran tema baharu ini dapat mendedahkan kepada orang ramai mengenai kepelbagaian pilihan disediakan untuk mereka di Pahang.

"Di Pahang banyak kawasan menarik termasuk kawasan tanah tinggi, pantai dan kepelbagaian budaya.

"Terkini, kita berbangga apabila Menara Kuantan 188 telah siap dan dibuka kepada umum. Mercu tanda terbaru ini seperti bandaraya dan Lorong Seni bakal menjadi tumpuan utama pelancong ke Kuantan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!