Hilang punca rezeki selepas suami didakwa kena sampuk hantu

Anak-anak yang pertama kali mencium dan memeluk bapa mereka, Rosdi Sulaiman, 48, selepas enam tahun kerana takut penyakit misteri dialami lelaki itu.
Anak-anak yang pertama kali mencium dan memeluk bapa mereka, Rosdi Sulaiman, 48, selepas enam tahun kerana takut penyakit misteri dialami lelaki itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah keluarga 10 beranak di Kampung Penempatan Baru Sabak, Pengkalan Chepa di sini hilang punca rezeki selepas ketua keluarga itu mengalami gangguan misteri didakwa tersampuk hantu sejak enam tahun lalu.

Nelayan, Rosdi Sulaiman, 48, mula berkelakuan pelik selepas pulang menangkap ikan di laut pada hujung tahun 2015 sekali gus mengubah sikap bapa periang itu kepada pendiam, kerap termenung dan sukar tidur malam.

Isterinya, Norliza Othman, 41, berkata dia membawa suaminya ke Klinik Kesihatan sebanyak dua kali untuk rawatan dan disahkan Rosdi tidak menghidap sebarang penyakit.

“Walaupun doktor memaklumkan dia sihat tetapi kami pelik kerana dia kemurungan, duduk termenung sahaja di dalam rumah dan sukar tidur malam.

"Anak-anak pun takut dan tidak pernah peluk cium ayah mereka," katanya ketika kunjungan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Pengkalan Chepa, Datin Sri Noor Azizah Sulaiman di rumah mereka di Kampung Sabak Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Ir Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni.

Hasil perkahwinan Rosdi dan Norliza dikurniakan lapan anak iaitu Jamaatun Adawiah Rosdi, 20, yang bekerja kilang berpendapatan RM800 sebulan, manakala Mohamad Zaiful Fitri, 17; Muhamad Aiman Hakim, 16, dan Nur Fatin Farahana, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin.

Artikel Berkaitan:

Kesempitan hidup dialami keluarga ini turut menyebabkan Norliza Othman, 41, tidak mampu membaiki atap rumahnya yang bocor kerana tidak cukup wang.
Kesempitan hidup dialami keluarga ini turut menyebabkan Norliza Othman, 41, tidak mampu membaiki atap rumahnya yang bocor kerana tidak cukup wang.

Empat lagi, Nur Fatin Batrisyia, 11; Nur Fatin Fikriah,10; Nur Fatin Fatihah,7, dan Muhamad Fahmi Fatuhullah, 7, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak.

Dua anak mereka yang berusia 7 tahun bukan kembar sebaliknya Nur Fatin Fatihah lahir pada awal tahun 2014 manakala

Muhamad Fahmi Fatuhullah lahir pada penghujung tahun sama.

Tambah Norliza, suaminya juga tidak lagi keluar menangkap ikan seperti dulu menyebabkan mereka hilang punca pendapatan untuk menyara hidup.

Katanya, keadaan umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila Norliza pula menghidap penyakit hempedu dan sudah empat kali menjalani pembedahan.

“Tambah perit apabila saya terpaksa berhenti kerja sebagai seorang pembantu kedai makan pada Disember tahun lalu.

“Sekarang, bergantung hidup sepenuhnya atas wang bantuan persekolahan anak-anak RM1,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan anak sekolah RM100 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) diperoleh dua tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, ada masanya dia terpaksa 'menebalkan muka' berhutang dengan kawan-kawan bagi mencukupkan wang saku persekolahan anak-anak setiap hari atau menyediakan bekal mi goreng dari rumah.

“Jiran-jiran dan ketua kampung ada membantu tetapi kerap juga terpaksa ikat perut atau pun goreng mi segera untuk anak-anak.

“Bil air dan elektrik kini tertunggak dua bulan berjumlah RM500 dan anak-anak masih memakai baju sekolah tahun lepas.

“Saya berharap suami pulih demi anak-anak kami. Saya buntu apabila doktor kata dia sihat, saya ikhtiarkan cara tradisional pun tidak pulih dan ada yang kata dia tersampuk hantu,” katanya.

Bantuan kepada keluarga ini boleh disalurkan melalui akaun RHB Bank Norliza Othman 10301100397698 atau hubunginya 0179284039.