Ubah suai lori taktik baharu seludup ketum

No Image Caption
A
A
A

JELI - Taktik mengubah suai lori menjadi modus operandi baharu penyeludup ketum untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi mengelakkan mereka ditahan.

Bagaimanapun, tindakan licik tersebut berjaya dihidu anggota polis yang menahan sebuah lori lima tan dalam Op Benteng di sekatan jalan raya berdekatan Kampung Batu 6, Batu Melintang, Jeli pada jam 1.45 pagi Selasa lalu bersama 900 kilogram ketum bernilai RM9,000.

Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, lori tersebut dinaiki dua suspek berusia lingkungan 20 dan 30 tahun.

"Kenderaan itu dari arah Gerik ke Jeli dan mempunyai surat kebenaran merentas negeri bagi perkhidmatan keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

"Pemeriksaan badan ke atas dua suspek tidak menjumpai barang yang salah tetapi kami curiga apabila fizikal lori berkenaan telah diubah suai," katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli di sini pada Khamis.

Menurutnya, pemeriksaan di ruang belakang dalam kabin lori tersebut tidak menyimpan barangan namun pemeriksaan lanjut dilakukan apabila terdapat dinding papan lapis dalam kabin lori terbabit.

Nik Ahmad Kamil memberitahu, apabila dibuka salah satu papan tersebut, pihaknya menemui balutan cerah yang setiap satunya diikat dengan gegelang getah disyaki daun ketum.

"Hasil bukaan kesemua dinding kabin lori itu mendapati ruang dinding kabin lori terbabit dipenuhi dengan susunan daun ketum seberat 900 kilogram (kg).

Artikel Berkaitan:

"Taktik ini merupakan kali pertama berlaku di Kelantan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kami juga percaya bekalan ini diperoleh dari Sik, Kedah untuk pasaran Kelantan dan Thailand.

"Hasil soal siasat kepada kedua-dua suspek mengaku mengambil upah RM500 bagi satu penghantaran dan lori itu didaftarkan untuk perkhidmatan logistik," katanya.

Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah ditahan reman empat hari bermula 16 sehingga 19 Mac dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Suspek tersebut juga sebelum ini didapati pernah ditangkap di Gerik pada 20 Januari lalu berkaitan dengan kes penyeludupan daun ketum.