10 ahli sindiket tipu jual pelitup muka, sarung tangan diberkas

Zainuddin
Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu termasuk dua wanita ditahan pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan penjualan pelitup muka dan sarung tangan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kesemua individu itu ditahan dalam beberapa siri operasi di Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka yang ditahan ialah ialah lapan lelaki, seorang wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Mongolia.

"Polis turut merampas 12 telefon bimbit, 14 kad pengeluaran tunai (ATM), satu tablet, dua buku cek dan lapan dokumen, tiga kenderaan dan wang tunai RM6,106," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati ahli sindiket akan menarik minat mangsa untuk membeli sarung tangan pada harga yang murah.

"Mereka memperdaya mangsa dengan menggunakan nama syarikat sarung tangan terkemuka bagi menarik minat mangsa dari dalam dan luar negara," katanya.

Menurutnya, sindiket kemudian akan memberi pelbagai alasan sehingga syarikat mangsa perlu melakukan pembayaran bernilai jutaan ringgit sebelum sindiket itu gagal dihubungi serta menghilangkan diri.

Zainuddin memberitahu, sebanyak 98 kes dilaporkan dan telah disiasat sejak 14 Mac lalu melibatkan kerugian RM120,799,941.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Tindakan juga akan dilakukan mengikut Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla)," katanya.

Zainuddin menasihati orang ramai supaya memastikan urusan jual beli dilakukan melalui perjanjian dan kaedah yang diperakui bagi mengelakkan menjadi mangsa.

"Jangan mudah percaya dengan tawaran jualan barangan yang murah daripada pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya," katanya.