Peniaga kedai makan tak mengaku rogol, liwat cucu saudara

Tertuduh berusia 56 tahun tidak mengaku salah merogol dan meliwat cucu saudaranya berusia tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis.
Tertuduh berusia 56 tahun tidak mengaku salah merogol dan meliwat cucu saudaranya berusia tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dakwaan merogol dan meliwat cucu saudaranya berusia tujuh tahun, pada Februari lalu.

Tertuduh berusia 56 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak terbabit di sebuah kedai makan di Gong Badak, Kuala Nerus, kira-kira jam 7 malam, pada 23 Februari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa dan keluarga selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran iaitu pada 1 haribulan dan 15 haribulan bagi setiap bulan sepanjang prosiding berjalan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak dan tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.