X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Tingkatkan kualiti produk pelancongan: KeTSA

Shamsul Anuar menandatangani plak simbolik merasmikan Taman Paya Bakau Bandar, Lumut.
A
A

LUMUT - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mahu kualiti dan nilai produk pelancongan dan rekreasi ditingkatkan supaya dapat memberi pulangan kewangan serta mewujudkan industri hiliran kepada masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, produk tersebut melibatkan kawasan hutan lipur, taman negara, taman negeri, geopark dan produk berkaitan di seluruh negara.

Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak termasuk Malaysia Book of Record (MBOR) diperlukan bagi meningkatkan standard, kualiti dan pensijilan produk tersebut.

"Kita bermesyuarat semalam (Rabu) dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memulihkan semua produk pelancongan di bawah kementerian. Apabila kita dapat memenuhi kriteria dan menerima pengiktirafan maka ia dapat menarik ramai pengunjung.

"Kita mahu kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjenamakan semula produk ini sekali gus meningkatkan pendapatan dan mewujudkan industri hiliran untuk kebaikan kepada komuniti seperti di Kuala Sepetang, Taiping dan Pulau Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program Pemeliharaan dan Pemuliharaan dan perasmian Taman Paya Bakau Bandar di sini pada Khamis.

Shamsul Anuar (tengah) terlibat menanam pokok bakau di Taman Paya Bakau Bandar, Lumut.
Shamsul Anuar (tengah) terlibat menanam pokok bakau di Taman Paya Bakau Bandar, Lumut.

Pada majlis itu, Shamsul Anuar bersama Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin turut terbabit dalam penanam 100 pokok bakau di taman itu.

Shamsul Anuar berkata, lebih 4 juta pokok telah ditanam menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 selepas dilancarkan pada Januari lalu.

"Walaupun sasaran kita setiap tahun 20 juta pokok dan kini sudah mencapai lebih 4 juta namun kita mahu program ini dilaksanakan secara berterusan dan tidak dilakukan secara formal oleh agensi kerajaan.

"Kita mahu dilaksanakan secara semula jadi melibatkan rakyat untuk menanam sama ada di rumah dan komuniti," katanya.

Kempen itu adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia yang merupakan satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, penjenamaan semula Taman Paya Bakau Lumut kepada Taman Paya Bakau Bandar itu dilihat memberi nafas baharu yang mampu menarik minat pengunjung.

"Taman yang diwujudkan sejak 1994 itu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan memiliki ekosistem paya bakau di kawasan berhampiran bandar. Penambahbaikan dilaksanakan termasuk mengenakan bayaran kepada pengunjung dewasa sebagai kos penyelenggaraan dan operasi.

"Cadangan lain ialah pengubahsuaian bangunan informasi kepada 'Lumut Mangrove Discovery Center' selain mengadakan kerjasama pengenalan produk baharu seperti river cruise dan pakej bersama pengusaha dan penduduk tempatan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!