Suspek tembakan di Atlanta didakwa tuduhan membunuh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
WASHINGTON - Suspek tunggal dalam tiga insiden tembakan di Atlanta,Georgia Amerika Syarikat (AS) yang membunuh lapan orang didakwa pada Rabu dengan beberapa tuduhan membunuh.

Pejabat Sheriff Daerah Cherokee, Jay Baker berkata, Robert Aaron Long, 21, didakwa dengan empat tuduhan membunuh dan satu tuduhan serangan ganas pada Selasa di sebuah spa di pinggir bandar berhampiran Atlanta menyebabkan empat maut, lapor Agensi Berita Xinhua.

Unit Homisid Jabatan Polis Atlanta pada Rabu mengumumkan, Long juga didakwa dengan empat lagi tuduhan membunuh di dua spa berdekatan di bandar Atlanta.

Long kini ditahan di pusat tahanan di daerah Cherokee dan polis belum mendedahkan motif serangan.

Presiden Joe Biden telah meminta Penasihat Dasar Dalam Negeri, Susan Rice dan Pengarah Perhubungan Awam Rumah Putih dan Penasihat Kanan, Cedric Richmond untuk mengadakan sesi bertemu masyarakat setelah kejadian tembakan itu, menurut Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki.

Psaki memberitahu wartawan dalam taklimat harian media pada Rabu bahawa sesi tersebut akan menjadi sebahagian daripada tinjauan "jangka panjang, strategik, komprehensif" oleh pentadbiran mengenai kesan ekstremisme keganasan domestik terhadap masyarakat dan dasar kerajaan masa depan.

Pemangku Ketua Jabatan Polis Atlanta, Rodney Bryant dalam satu sidang media berkata, polis tidak dapat mengesahkan ia bersifat kebencian kerana siasatan masih di peringkat awal.

Sementara itu, Long dalam soal siasat mengaku bertanggungjawab atas tiga insiden tembakan. Enam daripada lapan mangsa orang Asia dan dua lagi berkulit putih, dan seorang mangsa terselamat.

Menurut pihak berkuasa, Long mendakwa serangan itu tidak bermotifkan perkauman, dan bahawa dia mempunyai 'ketagihan seksual' dan melihat rumah urut sebagai 'godaan' yang ingin 'dihilangkan'.
Artikel Berkaitan:


Long ketika ditangkap, sedang menuju ke Florida dan merancang melakukan jenayah serupa. - Bernama