Khairy tempelak Najib gagal patuhi temu janji vaksinasi

Najib, Khairy
Najib, Khairy
A
A
A

PUTRAJAYA - Di sebalik persoalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jumlah vaksinasi yang rendah, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menempelak Ahli Parlimen Pekan itu.

Katanya, Najib telah membatalkan temu janji vaksinasi yang ditetapkan pada 6 Mac 2021 di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.

"Dalam pada Datuk Seri (Najib) mempersoalkan jumlah yang rendah ini, saya turut difahamkan Datuk Seri telah membatalkan janji temu vaksinasi yang ditetapkan," katanya menerusi ruangan komen di hantaran Facebook Najib.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan jumlah vaksinasi harian sehingga 160,000 pada pertengahan tahun iaitu Fasa Ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) apabila lebih banyak bekalan diterima.

"Sebelum ini saya telah beberapa kali menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri berkaitan jumlah vaksinasi harian tapi nampaknya, penjelasan saya mungkin tidak berjaya memuaskan hati Datuk Seri," katanya.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, satu taklimat berkenaan vaksinasi akan diadakan kepada ahli Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

"Surat jemputan telah pun dihantar dan disahkan telah diterima oleh pegawai Datuk Seri.

"Surat jemputan menerusi e-mel serta WhatsApp kepada pegawai Datuk Seri juga telah dihantar.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya berharap Datuk Seri dapat hadir pada hari tersebut dan boleh terus memberi pandangan atau lontarkan persoalan berkenaan PICK ini," katanya.

Dalam pada itu Khairy turut berterima kasih kepada Najib yang sentiasa memberi teguran dan pandangan bagi memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Pada masa yang sama, saya berharap Datuk Seri juga dapat membantu menggalakkan pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di daerah Pekan memandangkan buat masa ini, hanya 13,020 orang penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah Pekan yang telah mendaftar.

"Jangan tulis dan promosi di FB sahaja tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran," katanya.

Tambahnya, hanya dengan pendaftaran yang tinggi akan memungkinkan PICK berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Najib dalam hantarannya menyifatkan kadar pemberian dos vaksin Covid-19 di negara ini masih rendah.

"Setakat semalam (Selasa), Malaysia telah berjaya memberi 321,331 dos vaksin sejak Program Vaksinasi negara bermula sejak 3 minggu lalu," katanya.

Menurutnya, kadar itu bersamaan dengan 22,138 dos sehari ataupun 0.07 orang bagi setiap 100 penduduk Malaysia.