Anak syarikat MAIWP biayai pembinaan Universiti Wakaf

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berucap ketika Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bangunan Perkim hari ini. Foto: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berucap ketika Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bangunan Perkim hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menggunakan sumber pendapatan daripada anak syarikat MAIWP untuk membina universiti wakaf pertama di bawah kelolaannya, Universiti Wakaf MAIWP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, selain daripada sumber berkenaan sumbangan orang ramai juga sangat dialu-alukan.

"Ia bagi merealisasikan pembinaan universiti itu yang bertujuan membantu umat Islam dan golongan kurang kemampuan untuk melanjutkan pelajaran," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan warga MAIWP, di sini, hari ini.

MAIWP mempunyai enam anak syarikat iaitu Pusat Pungutan Zakat, Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan (Pusrawi), Institut Profesional Baitulmal, Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), MAIWP Dagang Sdn Bhd dan Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mujahid berkata, kos keseluruhan dan lokasi universiti berkenaan masih belum dimuktamadkan sementara tarikh pembinaannya dijangka akan bermula dalam masa lima atau enam tahun.

"Dua kolej universiti di bawah MAIWP iaitu Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) akan digabungkan dan diserapkan ke dalam Universiti Wakaf MAIWP.

"Universiti berkenaan akan menawarkan kursus yang sedia ada oleh PICOMS dan KPBKL sekarang namun ia akan ditambah baik mengikut piawaian antarabangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga kini Malaysia tidak mempunyai sebuah universiti wakaf maka Universiti Wakaf MAIWP itu akan mengambil Universiti Al-Azhar dan universiti di Turki sebagai model contoh daripada sumber pendapatan untuk menanggung kos pembinaan, wakaf dan sebagainya.

Sementara itu, Mohamad Nordin Ibrahim, pembiayaan penubuhan Universiti Wakaf MAIWP tidak menggunakan peruntukan kerajaan, selain daripada sumber pendapatan anak syarikat MAIWP ia akan bergantung kepada jumlah wakaf yang akan diberikan oleh umat Islam di negara ini.

“Sekurang-kurangnya RM10 seorang...sekiranya 12 juta umat Islam di negara kita turut menyumbang, MAIWP mampu biaya universiti ini, justeru MAIWP akan memupuk kesedaran mewakaf ini dan tabung pembiayaan orang ramai akan kami wujudkan nanti,” katanya. - Bernama