X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan masa beri peluang muka baharu: Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe
A
A

KETUA jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe masih menaruh harapan terhadap sebahagian besar pemain sedia ada berbanding muka baharu menjelang saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Cheng Hoe turut menolak untuk bereksperimen apabila mengekalkan lebih 70 peratus barisan pemainnya sebelum ini pada kem latihan pusat pertama pasukan kebangsaan dalam tempoh 16 bulan yang akan bermula Isnin depan di Johor Bahru.

Jelasnya, cabaran dari segi kesuntukan waktu serta peluang aksi persahabatan yang masih samar antara faktor yang menyukarkan beliau membuka peluang kepada pemain baharu dan mengutamakan pemantapan mutu permainan dan kombinasi kalangan pemain dalam skuad sedia ada.

“Barisan kejurulatihan sentiasa memantau perkembangan setiap pemain dalam saingan Liga Super dan Liga Premier tetapi dalam masa terdekat memang kita tidak boleh beri peluang kepada ramai muka baharu.

“Saya perlukan pemain tonggak utama (skuad negara) untuk menjalani latihan sebab banyak lagi yang perlu ditingkatkan pasukan tetapi pintu skuad negara sentiasa terbuka untuk mana-mana pemain yang menunjukkan prestasi baik,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Menjelang kem latihan pusat tersebut, Cheng Hoe menyenaraikan 17 daripada 23 pemain skuad negara dalam dua aksi terakhir kelayakan pada November 2019 dan memanggil 11 pemain termasuk tonggak naturalisasi terbaharu negara Guilherme de Paula untuk melengkapkan senarai 28 pemain.

Senarai tersebut mendapat pelbagai reaksi mereka yang berkenaan, khususnya peminat dan media yang rata-rata mempersoalkan pemilihan pemain oleh jurulatih berusia 52 tahun itu termasuk menyenaraikan pemain yang tidak mempunyai minit permainan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Namun, bekas pengendali Kedah itu menegaskan ketika ini beliau masih memiliki kepercayaan tinggi terhadap kemampuan barisan pemain sedia ada yang telah bersama beliau sejak kempen saingan bermula.

“Saya rasa setiap kali ada panggilan kem latihan pusat mesti ramai tidak puas hati dengan senarai pemain tetapi yang penting bagi saya mereka (pemain) masih relevan untuk skuad kebangsaan kerana rata-rata pemain sudah bersama dengan saya dan juga menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Jadi saya harap mereka masih boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan, dan kalau kata dari segi tiada minit permainan, kita kena lihat dari segi bakat, dari segi kemampuan pemain itu saya rasa boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan,” jelasnya.

Cheng Hoe juga menolak tanggapan bahawa keputusan mengadakan latihan di Johor Bahru berbanding di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya kali ini bertujuan mengelak daripada media.

Malaysia dijadual meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik Covid-19 secara berpusat menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE.

Malaysia berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!