X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster Ladang Bukit jangkiti 5 pelajar, seorang guru

Dr Nor Azimi
A
A

KUALA TERENGGANU - Kluster Ladang Bukit yang menjadi kluster baharu kes Covid-19 di Terengganu telah menjangkiti seorang guru dan lima pelajar di enam sekolah rendah di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga kini kluster yang didaftarkan sejak 12 Mac lalu telah menjangkiti 96 individu dengan 1,023 kontak rapat berjaya dikesan.

"Kluster Ladang Bukit melibatkan jangkitan di tempat kerja di Kerteh dan akhirnya merebak ke komuniti melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

"Kluster ini berlaku akibat ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau pada Khamis.

Beliau berkata, pemulaan kes berkenaan dikesan daripada seorang pekerja bergejala yang positif Covid-19 namun didapati berulang-alik ke sebuah negeri kerana isteri dan anaknya tinggal di sana.

"Apabila kes positif masuk bekerja, mereka akan menjangkiti rakan sekerja pula, apatah lagi sekiranya tempat kerja itu sempit dan sesak. Mereka bekerja bersama-sama selama 14 jam sehari.

"Hasilnya seramai 49 dari 161 orang pekerja dikesan positif Covid-19 serentak. Ini bermaksud transmisi telah lama berlaku," katanya.

Nor Azimi berkata, penularan Covid-19 boleh dicegah sekiranya orang ramai mematuhi SOP di tempat kerja bagi mengelak kluster seperti Ladang Bukit tidak berulang.

"Iktibar dari mana-mana kluster adalah ahli keluarga akan menjangkiti ahli keluarga yang lain. Kita pun tahu pematuhan SOP sangat sukar dalam kalangan keluarga.

"Anak-anak yang dijangkiti akan ke sekolah dan mungkin menjangkiti pula rakan sekelas dan guru mereka.

"Untuk kluster ini, seramai lima pelajar dan seorang guru dari enam sekolah rendah telah dijangkiti. Sudah setahun lebih kita bercakap mengenai kepatuhan SOP namun pelanggaran SOP masih boleh dilihat di mana-mana," katanya.

Kes indeks bagi Kluster Ladang Bukit membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 29 tahun dan dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Mac hasil saringan individu bergejala.

Sementara itu, kenyataan menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melaporkan terdapat 15 kes baharu Covid-19 direkodkan sehingga Rabu menjadikan sebanyak 199 kes dan 16 kluster aktif ketika ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 197 kes berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala dua pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!