Semangat tidak putus asa Hijau Kuning dipuji

Aidil Sharin melihat persaingan sihat di kalangan pemain-pemainnya untuk merebut kesebelasan utama semakin baik

Muhammad Fayadh meraikan jaringannya semasa membantu KDA FC mengatasi PJ City FC 3-1 di Stadium Darul Aman pada Rabu. - Foto KDA FC
Muhammad Fayadh meraikan jaringannya semasa membantu KDA FC mengatasi PJ City FC 3-1 di Stadium Darul Aman pada Rabu. - Foto KDA FC
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak memuji kebangkitan anak-anak buahnya mengatasi PJ City FC 3-1 di Stadium Darul Aman pada aksi keempat Liga Super 2021 pada Rabu.

Menurutnya, ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama kepada pelawat langsung tidak mengendurkan semangat Hijau Kuning untuk terus memberikan tekanan kepada kubu pasukan pelawat.

"Semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya di atas padang dan ketinggalan 0-1 jelas tidak memberikan tekanan kepada kami dan pemain terus positif.

"Pertukaran taktikal pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila gol penyamaan hadir melalui Baddrol Bakhtiar. Kita nampak mereka agak keletihan namun berusaha untuk memenangi perlawanan ini," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Gol kedua dan ketiga tuan rumah pula menjelma melalui Kpah Sherman dan kemudiannya Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin bagi memastikan KDA FC melonjak ke tangga keempat Liga Super 2021 dengan tujuh mata selepas empat perlawanan.

Mengulas lanjut, katanya, persaingan sihat dalam kalangan pemain-pemainnya untuk merebut kesebelasan utama semakin baik dan beliau percaya momentum pasukan juga akan turut meningkat.

"Bagi pemain-pemain yang tidak cergas (dan mahu berada di dalam kesebelasan utama), mereka perlu kembali dengan prestasi yang terbaik jika mahu membantu pasukan," katanya.

Sementara itu, pengendali PJ City FC, P Maniam berkata, kecederaan yang dialami ketua pasukannya, K Gurusamy dan Darren Lok pada separuh masa pertama banyak memberikan kesan kepada jentera serangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tuan rumah berjaya memanfaatkan kelekaan pemain-pemain terutamanya pada separuh masa kedua dengan jaringan tiga gol hasil situasi 'set piece'.

"Pada separuh masa pertama, kita boleh nampak pemain PJ City FC bermain bersungguh-sungguh sehingga memperoleh satu gol. Namun kita dihukum oleh KDA FC pada separuh masa kedua dengan jaringan tiga gol.

"PJ City FC cuba menjaringkan tambahan gol pada separuh masa kedua namun tidak berhasil. Kita perlu kembali bangkit dan membaiki kesilapan ini terutamanya berdepan Sri Pahang FC pada aksi seterusnya," katanya.