Terima kasih kritik saya: Baddrol

Baddrol (empat dari kiri) bersama rakan-rakan pasukannya selepas tamat aksi menentang PJ City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu. - Foto KDA FC
Baddrol (empat dari kiri) bersama rakan-rakan pasukannya selepas tamat aksi menentang PJ City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu. - Foto KDA FC
A
A
A

KETUA pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar terbuka menerima kritikan yang dilemparkan segelintir penyokong kelab tersebut atas prestasinya yang dianggap tidak memberangsangkan pada beberapa perlawanan lalu.

Baddrol, 33, menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah kehidupan seorang pemain bola sepak profesional dan fokusnya adalah untuk kembali membaiki prestasi dan membantu kelab meraih piala pada musim 2021.

"Saya bersyukur pada keluarga, ibu bapa, rakan-rakan pasukan yang sentiasa memberikan semangat kepada saya dalam apa jua keadaan. Paling penting kemenangan ini adalah untuk pasukan, pengurusan dan penyokong, bukannya individu.

"Kritikan sebelum ini sudah lali, saya anggap sebagai cabaran dalam hidup. Saya doakan yang mengkritik itu bahagia dan dimurahkan rezeki. Saya ambil kritikan ini sebagai positif untuk majukan pasukan dan terima kasih," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Baddrol sebelum itu memimpin pasukan Hijau Kuning menewaskan PJ City FC 3-1 pada aksi keempat Liga Super 2021 selain menjaringkan satu gol pada perlawanan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Baddrol pacu KDA FC benam PJ City FC

Lebih menarik perhatian ialah pemain yang telah pun beraksi bersama Kedah sejak 16 tahun lalu meraikan jaringan pertamanya musim ini dengan membuka jersi dan menunjukkan logo sayangkan kelab tersebut pada bajunya.

Jelasnya, mesej tersebut disampaikan kepada semua penyokong KDA FC dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka kerana sentiasa menyokong pasukan selama ini.

Artikel Berkaitan:

"Idea ini memang saya mahu bawakan pada musim baru ini. Isteri saya yang membantu melukisnya dan anak saya pula membantu mewarnakannya," katanya.

Menurutnya, KDA FC adalah sebuah pasukan lain daripada lain dan keharmonian bertambah baik sejak kehadiran Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Baddrol bagaimanapun berkata, Hijau Kuning perlu terus meningkatkan lagi momentum dan memperbaiki lagi ruang dan kelemahan yang ada untuk berdepan lebih banyak kelab yang kuat dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

KDA FC bakal bertemu UiTM FC pada aksi Liga Super seterusnya di laman lawan pada Sabtu.