Kes Covid-19 turun, suhu politik pula naik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEJAK 6 Mac, kes baharu Covid-19 kembali di bawah paras 2,000 kes setiap hari, sekali gus dilihat berjaya melandaikan semula kes positif di Malaysia yang agak membimbangkan sejak awal tahun. Diharap kes baharu dapat turun lagi ke paras 1,000 kes pada April.

Jika trend penurunan berterusan, ia pasti melegakan banyak pihak terutama warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Diharap juga pada bulan hadapan, kerajaan dapat benarkan rentas negeri bagi membolehkan ekonomi negara terutama sektor pelancongan kembali beroperasi seperti biasa.

Apabila kes positif dapat dilandaikan dan rentas negeri dibenarkan, adalah wajar bagi kerajaan membenarkan Parlimen bersidang semula bagi memastikan fungsi semak dan imbang dapat dikembalikan.

Sementara itu, dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa lima ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diberi ugutan atau pelawaan dengan pelbagai sogokan untuk menarik sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN) adalah perkara serius dan perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suhu politik yang kembali memuncak sejak Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti diharap dapat diselesaikan di Parlimen dengan menentukan jumlah sebenar sokongan ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sekiranya jumlah menyokong kerajaan PN mencukupi, semua pihak perlu memberi ruang kepada Muhyiddin untuk mentadbir kerajaan dengan lancar tanpa sebarang tekanan politik.

Namun, jika jumlah majoriti kerajaan tidak melebihi 111 kerusi, adalah wajar bagi Muhyiddin segera untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tanpa perlu menunggu sehingga proklamasi darurat tamat pada Ogos.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 juga perlu bersedia beri pandangan awal jika kes kekal di bawah paras 1,000 nanti.

Apa yang rakyat mahukan adalah isu politik diselesaikan segera selepas kes Covid-19 dapat dilandaikan bagi mengelak agenda tersembunyi individu tertentu yang hanya merugikan negara.