Warga emas rayu bantuan dua anak OKU

Mohd Fadel (dua dari kiri) melawat Norhadiah dan dua anaknya yang memerlukan bantuan di Kampung Paya, Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.
Mohd Fadel (dua dari kiri) melawat Norhadiah dan dua anaknya yang memerlukan bantuan di Kampung Paya, Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.
A
A
A

KLUANG - Seorang ibu tunggal merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan kepada dua anaknya yang menghadapi masalah lembam sejak dilahirkan.

Menurut Norhadiah Arjan, 65, dua anaknya iaitu Norhisham Yunus, 45, dan Mohd Husaini, 32, sehingga kini tidak pernah menerima sebarang bantuan termasuk kad pengesahan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Katanya, anak sulung dan kedua daripada tiga beradik itu kini hanya mampu berada di rumah dan tidak boleh bergerak jauh kerana bimbang mereka hilang panduan untuk balik walaupun berada dalam kampung.

"Mujur ada bayaran dividen bulanan sebanyak RM200 daripada Felcra yang membantu mengusahakan tanaman kelapa sawit seluas tiga ekar di sekeliling rumah sebagai punca pendapatan keluarga.

"Namun dengan hanya jumlah itu sudah pasti tidak mencukupi untuk kegunaan kami tiga beranak tidak termasuk kakak yang tinggal bersama-sama kerana dia juga tergolong dalam golongan OKU," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Kebajikan Golongan B40 Negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi di kediaman mereka di Kampung Paya, Simpang Renggam, dekat sini pada Rabu.

Norhadiah turut merayu agar geran tanah yang didiaminya sejak lebih 20 tahun itu diluluskan segera kerana semua bayaran urusan seperti premium tanah sudah pun dilunaskan.

"Saya amat bimbang sekiranya semua ini tidak diselesaikan segera boleh menyebabkan anak-anak kehilangan tempat tinggal sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kepada saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Fadel amat berharap tindakan segera dapat dilakukan agensi berkaitan agar masa depan keluarga ini lebih terjamin serta mendapat pembelaan sewajarnya.

"Jika diteliti masalah keluarga ini, ia berlaku kerana tidak mendapat pendedahan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.