Malas imbas MySejahtera, wang pun melayang

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK minggu lalu, kompaun RM10,000 sudah dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ramai yang terkejut termasuk Merak Jalanan kerana tak sangka kerajaan serius melaksanakan jumlah kompaun yang begitu tinggi.

Walaupun Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kompaun RM10,000 adalah nilai maksimum dan boleh buat rayuan serta diskaun, namun isu kompaun ini tidak boleh dianggap ringan kerana pihak polis sering turun padang untuk periksa siapa yang tak patuh SOP.

Kompaun RM1,000 pun sudah terlalu tinggi walaupun kerana kesalahan tidak imbas MySejahtera.

Oleh itu, sejak dua hari lalu, Merak Jalanan sentiasa imbas MySejahtera setiap kali masuk kedai walaupun tak sampai 1 minit. Takut malang tak berbau, melayang RM1,000.

Merak Jalanan nampak sejak isu kompaun RM10,000 hangat dihebohkan, lebih ramai orang imbas MySejahtera sebelum masuk ke premis kedai.

Ia akan memudahkan Kementerian Kesihatan menganalisis data jika terdapat kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Diharap penjelasan Takiyuddin dapat mengurangkan kritikan dan kecaman di media sosial terhadap kerajaan serta PDRM yang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Untuk kesalahan lain yang kononnya turut dikompaun RM10,000, Merak Jalanan tidak mahu komen kerana tidak pasti kesahihannya terutama apabila tular di media sosial yang ada potensi ditokok-tambah untuk menyedapkan cerita.

Apa yang penting, kita sebagai rakyat perlu patuh SOP yang ditetapkan. Jangan anggap scan MySejahtera sebagai perkara remah kerana tindakan itu sebenarnya mampu membantu melawan pandemik Covid-19.

Jangan lupa imbas MySejahtera setiap kali masuk ke dalam premis walaupun hanya masuk sekejap. Tak susah pun, tak sampai lima saat!