Tony Fernandes layak kemudi MFL

Gambar kecil: Jamal Nasir
Gambar kecil: Jamal Nasir
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mengalu-alukan kesediaan Pengerusi Perbadanan Stadium (PSM), Tan Sri Tony Fernandes untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setelah Datuk Hamidin Mohd Amin melepaskan jawatan berkenaan kelak.

Menurut Jamal Nasir, kehadiran Tony dilihat bakal membantu khususnya dari segi perolehan badan pentadbir liga bola sepak negara itu, berikutan pengalaman luasnya dalam bidang perniagaan selain memiliki rangkaian perniagaan di seluruh dunia ketika ini.

Malah katanya, selaku badan pentadbir bola sepak negara, MFL memerlukan individu yang sentiasa memikirkan mengenai perniagaan (business minded) dalam operasinya.

“Secara keseluruhannya, memang hasrat kita untuk menjadikan MFL sebagai satu identiti perniagaan dan bukannya hanya diletakkan beban untuk mencari penaja sahaja.

“Mungkin kehadiran Fernandes dapat ‘mencipta’ sesuatu bagi memberikan tambah nilai kepada apa yang kita miliki hari ini, mungkin dengan memperbanyakkan lagi bilangan penaja serta jumlah tajaan yang disalurkan.

“Dengan peningkatan penaja dan juga tajaan ini, bolehlah kita salurkannya semula kepada semua pemegang taruh kita; itu yang pentingnya terutamanya pada ketika ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” katanya kepada Sukan Harian pada Rabu.

Pada sidang media kelmarin, Fernandes menyatakan minat untuk mengisi kerusi nombor satu badan pentadbir liga bola sepak tanahair itu sekiranya mendapat tawaran mengenainya kelak.

Malah pemilik kelab Liga Kejuaraan, Queens Park Rangers (QPR) itu turut mengakui berminat untuk menjawat jawatan berkenaan berikutan minatnya yang mendalam terhadap sukan bola sepak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jamal Nasir berharap agar semua pihak berfikiran positif dan memberikan peluang kepada Fernandes untuk membuktikan kemampuannya sekiranya dia benar-benar mengisi kekosongan jawatan selaku Presiden MFL kelak.

Malah katanya, perkara itu juga selaras dengan kenyataan presiden MFL yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mahukan MFL ditadbir oleh pihak luar dan bukan dalam kalangan ‘orang-orang FAM’ itu sendiri.

“Bagi saya apa yang dikatakan oleh Hamidin itu betul Kita berikan dia peluang kerana dalam keadaan sekarang kita memang perlukan seseorang yang business minded, untuk menerajui MFL.

“Kita berikan dia (Fernandes) peluang jangan terus fikir negatif sahaja kerana dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kita juga perlukan individu yang mampu berfikir di luar kotak untuk mengelakkan MFL tergelincir dan seterusnya menjadikan saingan liga kita hambar,” katanya.