Bendung persepsi industri kreatif korup

Norman Abdul Halim
Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Norman Abdul Halim Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Persepsi negatif yang mengatakan bahawa industri kreatif negara dicemari dengan amalan rasuah perlu diatasi sekiranya masyarakat mahu melihat industri tersebut berkembang kepada satu tahap yang lebih tinggi.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Norman Abdul Halim berkata, persepsi sedemikian sememangnya wujud dalam kalangan penggiat bidang hiburan tanah air.

Beliau berkata, meskipun amalan tersebut didapati tidak berlaku secara terang-terangan, namun terdapat beberapa petanda yang secara tidak langsung menunjukkan adanya kegiatan sedemikian.

“Mungkin tidak berlaku sebarang kegiatan rasuah ini tetapi dari segi persepsi. Contohnya, kenapa ada satu syarikat ini sahaja yang dapat slot atau penerbitan rancangan TV.

“Selain itu, contohnya kita lihat lagu nak dimainkan di radio. Kita tak kata mana-mana radio dan sebagainya, tetapi kadang-kadang kita lihat ada sesetengah lagu yang dimainkan ataupun lagu daripada syarikat tertentu mungkin dapat perhatian yang lebih.

“Jadi kadang-kadang itu menimbulkan keraguan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak terlibat terutama penggiat dalam industri kreatif perlu memastikan bahawa setiap penilaian yang dibuat terhadap sesuatu kandungan itu dilakukan melalui satu sistem yang telus.

“Jadi dalam pemilihan lagu untuk dimainkan di radio, kita nak lihat bagaimana untuk buat satu sistem yang telus dan tidak boleh disalah guna oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

“Jadi itu sebagai satu contoh. Saya tidak kata mana-mana stesen radio mengamalkan apa-apa perkara yang tidak baik tetapi dari segi persepsi, bagaimana kita nak kurangkan itu,” kata beliau.

Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment berkata, persepsi sedemikian sekiranya tidak diatasi, bakal membantutkan kemajuan yang cuba dicapai oleh industri kreatif negara.

Beliau berkata, ada syarikat yang mungkin terpaksa menutup operasi mereka disebabkan tidak mampu bersaing.

“Sekiranya kita terpaksa membayar (rasuah), ini adalah suatu kerugian kerana kos itu sepatutnya kita boleh buat pelaburan ataupun masukkan balik dana tersebut untuk mengembangkan syarikat dan mencipta peluang pekerjaan,” kata Norman.