Peluang buru kejuaraan masih terbuka

UniKL masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan LHM musim ini.
UniKL masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan LHM musim ini.
A
A
A

PENYANDANG juara Liga Hoki Malaysia (LHM), UniKL tidak mahu mendabik dada walaupun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini selepas menang bergaya 4-0 ke atas Sabah pada Selasa.

Ketua Jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Termizi berkata, peluang untuk memburu kejuaraan masih terbuka luas dengan beberapa pasukan masih berusaha untuk memberikan cabaran dalam saingan liga.

“Perlawanan hari ini (menentang Sabah) memang sasaran kami untuk tidak hilang mata dan kami berjaya mendapatkan mata penuh dalam perlawanan kali ini. Daripada segi persembahan saya memang berpuas hati, namun masih ada beberapa kelemahan.

“Semua pemain memainkan peranan penting dan dalam perlawanan ini kami tidak terburu-buru untuk mencari gol dan kami bermain dengan rentak biasa dalam setiap perlawanan. Cuma, kelemahan apabila kita banyak berikan ruang dan perkara itu akan diperbaiki,” katanya.

Dalam perlawanan itu, UniKL tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Sabah menerusi jaringan Faridzul Afiq Mohd (7 dan 23), Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi (30) dan Muhammad Razie Abd Rahim (45).

UniKL masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini dengan seri ketika menentang TNB dan meraih dua kemenangan ke atas THT dan Sabah.

Mengulas lanjut, beliau turut mahu para pemainnya terus fokus terutama dalam mengharungi empat lagi baki perlawanan sekali gus memastikan pasukan itu dapat mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

“Setakat ini semua team masih mempunyai peluang. Jadual esok (hari ini) seperti Maybank yang juga pendahulu liga akan bertemu THT. JIka ada antara kedua-dua pasukan itu tercicir mata, maka ia akan beri kelebihan kepada pasukan lain.

Artikel Berkaitan:

“Namun, bagi saya, kami perlu terus fokus untuk meraih keputusan positif. Kemenangan merupakan perkara yang kami perlu kekalkan sekiranya mahu mempertahankan kejuaraan liga,” katanya.

UniKL yang akan turut menentang Nurinsafi Ht/Sports pada aksi hari ini kini menduduki tempat ketiga liga walaupun berkongsi mata dengan TNB dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.