X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Rider OKU antara 10 penghantar makanan terbaik GrabFood

Enam penghantar makanan OKU yang bergerak aktif di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kekurangan fizikal bukan halangan untuk pekerja penghantar makanan (rider) orang kurang upaya (OKU) di Terengganu menunjukkan prestasi cemerlang.

Lebih membanggakan empat daripada mereka tersenarai sebagai pekerja terbaik oleh syarikat penghantar perkhidmatan makanan, GrabFood.

Wakil penghantar makanan OKU, Mohammad Asyraf Anuar, 24, berkata, kesemua rakannya yang dinobatkan sebagai rider terbaik pada Februari itu ialah OKU bisu dan pekak sejak kecil.

"Walaupun mempunyai kekurangan pertuturan dan pendengaran tetapi kegigihan, kerajinan serta semangat yang ditunjukkan melayakkan mereka menerima penghargaan setanding dengan r5der biasa.

"Tidak dinafikan banyak cabaran yang dilalui mereka yang senasib dengan kami sepanjang bekerja kerana masalah komunikasi dan pendengaran, tetapi semua dianggap sebagai cabaran untuk mencari rezeki yang halal," katanya yang mempunyai masalah pendengaran sejak kecil.

 Mohammad Asyraf
Mohammad Asyraf

Mohammad Asyraf berkata, penglibatannya dalam GrabFood bermula sejak tiga bulan lalu sebelum mengajak lima lagi rakannya, Ahmad Aiman Yaacob, 22; Ahmad Muhsin Iliyasat, 29; Wan Mahalim Wan Marhalim, 40; Ahmad Muhaimin Yatim, 29, dan Muhammad Izzuddin Kamarudin, 22, bekerja di syarikat berkenaan.

Katanya, mereka berenam saling mengenali sejak sama-sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (P) Kuala Terengganu di Chendering sebelum sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu.

"Secara purata pendapatan bulanan diterima ada kalanya mencecah RM3,000 sebulan. Paling kurang pun dapat RM100 hingga RM150 sehari.

"Jika diikutkan, 10 trip boleh dapat dalam RM100 bergantung pada jarak perjalanan. Dalam sehari biasanya kita dapat antara 15 hingga 25 trip," katanya yang menjadi penterjemah bagi mewakili rakan-rakannya yang lain.

Ahmad Muhaimin (kiri), Ahmad Muhsin (tengah) dan Ahmad Aiman (kanan) berbual menggunakan bahasa isyarat ketika ditemui di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu.
Ahmad Muhaimin (kiri), Ahmad Muhsin (tengah) dan Ahmad Aiman (kanan) berbual menggunakan bahasa isyarat ketika ditemui di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ahmad Aiman berkata, dia memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan selepas menamatkan pengajian dalam kursus mekanikal di Politeknik Shah Alam.

Katanya, bidang itu sesuai baginya kerana menawarkan pulangan gaji yang lumayan disamping jadual waktu kerja yang fleksibel.

"Saya pernah alami pengalaman pahit pelanggan membatalkan pesanan saat akhir sedangkan saya sudah separuh perjalanan.

"Bagaimanapun, saya anggap ia sebagai asam garam dalam pekerjaan kerana banyak lagi pengalaman yang perlu saya timba," katanya.

Seorang lagi penghantar makanan OKU, Ahmad Muhaimin Yatim, 29, berkata, dia bekerja sebagai penghantar makanan selepas berhenti kerja di sebuah pasar raya.

"Selepas berhenti kerja tiga tahun lalu saya diberitahu oleh Muhammad Asyraf ada peluang untuk mendapat gaji lumayan melalui kerja penghantar makanan.

"Saya ambil keputusan untuk mencuba lagipun sekarang saya sedang kumpul duit untuk mendirikan rumah tangga InsyaALLAH dalam bulan Julai nanti," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!