Komitmen penuh bantu Sri Pahang FC menang

Lee Tuck cuba melepasi halangan pemain Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Selasa.
Lee Tuck cuba melepasi halangan pemain Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Selasa.
A
A
A

KOMITMEN 100 peratus di atas padang membuah kejayaan kepada skuad Sri Pahang FC apabila memperoleh kemenangan sulung pada saingan Liga Super, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga ketika bertemu Sabah FC di Stadium Darul Makmur di sini pada Selasa.

Ketua jurulatihnya Dollah Salleh juga mengakui keputusan 2-1 itu amat melegakannya setelah skuad Tok Gajah mempamerkan persembahan kurang memberangsangkan pada perlawanan sebelum ini.

“Banyak perubahan positif berlaku dalam pasukan pada perlawanan malam ini (malam tadi) apabila kita bermati-matian untuk mencapai kemenangan. Bagaimanapun, saya perlu akui masih ada ruang untuk diperbaiki kerana belum mencapai tahap yang saya inginkan.

“Lee Tuck contohnya, dalam dua aksi terdahulu prestasinya terumbang-ambing dan dia hanya menunjukkan peningkatan semasa Sri Pahang berhadapan Melaka manakala Yehven Bokhashvili masih kurang cergas kerana hampir enam bulan tidak menjalani latihan.

“Dia memiliki sentuhan seorang penyerang tetapi kebolehannya ‘tertinggal’ di belakang dan hanya mampu memberikan sekitar 40 ke 50 peratus daripada keupayaan sebenar,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan. Pada aksi itu, penyerang import dari Ukraine, Bokhashvili memecah kebuntuan gol pada minit ke-55 dan pemain tengah, Lee Tuck menambah kekecewaan Sang Badak pada minit ke-70, sebelum Sabah berjaya memperoleh gol tunggal menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-80.

Sementara itu, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, skuad bimbingannya dihukum dengan kekalahan tersebut rentetan kurang fokus semasa perlawanan.

“Kita mempunyai lebih banyak peluang menjaringkan gol tetapi gagal untuk dimanfaatkan sementara pasukan lawan memperoleh dua peluang dan menggunakan sebaik-baiknya dengan mencipta jaringan,” katanya.

Artikel Berkaitan: