Empat bebas tuduhan culik wanita Bangladesh

Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepaskan dan membebaskan empat individu termasuk seorang wanita atas pertuduhan menculik seorang wanita Bangladesh untuk mendapatkan wang tebusan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Zhafri Abu Baker, 34; Umu Asiyah Begum Abdul Rahman, 28; Hossain Kamal (Bangladesh) dan Hossain Md Kausar (Bangladesh) di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusan yang ringkas, Hakim Ahmad Shahrir berkata, dalam keadaan ketiadaan bukti mengenai orang yang dikatakan meminta wang tebusan untuk melepaskan Nila Akter Eti, yang juga merupakan saksi pendakwaan kelapan, kes kesalahan menculik tidak lengkap.

“Bukti penculikan sahaja tidak mencukupi tanpa membuktikan elemen wang tebusan. Saya mendapati pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadap kesemua tertuduh. Saya dengan ini melepaskan dan membebaskan kesemua tertuduh tanpa memanggil mereka untuk membela diri,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bagi mendapatkan wang tebusan RM20,000, telah menahan dan melarikan seorang perempuan warga Bangladesh, Nila secara salah di hadapan Masjid Jamek, Jalan Tun Perak pada jam 9 pagi, 30 Jun 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi, manakala Mohd Zhafri diwakili peguam S. Narasimhan; Umu Asiyah Begum oleh peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, Siti Sarah Khalil dan Datuk G. Jaya Prem; Hossain Kamal (Datuk M. Gobinath) dan Hossain Md Kausar (Shamsul Sulaiman).- Bernama

Artikel Berkaitan: