MAM gesa komuniti sukan permotoran patuhi SOP

MOKHZANI MAHATHIR
MOKHZANI MAHATHIR
A
A
A

Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengesa semua penganjur dan peserta aktiviti permotoran, untuk mematuhi protokol dan garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, protokolnya yang selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan, adalah penting dalam memastikan permulaan semula aksi sukan permotoran di Malaysia, selepas lama terhenti akibat pandemik itu.

Dengan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti permotoran akan bersambung semula dengan pusingan pembukaan Kejohanan Cub Prix Malaysia PETRONAS, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

“Kami teruja untuk melihat permulaan semula aktiviti sukan permotoran bermula hujung minggu ini. Bagaimanapun, saya mahu ingatkan kesemua pihak yang terlibat untuk mematuhi SOP, kerana kita semua tahu Covid-19 masih lagi merupakan satu ancaman kepada negara.

“Saya berharap semuanya akan mempunyai masa yang terbaik di litar, tetapi sentiasa beringat yang kita bersama-sama bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan semua yang terlibat. SOP yang ada adalah bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Selepas pusingan pembukaan kejohanan Cub Prix hujung minggu ini, aksi akan berterusan dengan Kejohanan Toyota Gazoo Malaysia dijadualkan pada minggu berikutnya, diikuti dengan Kejohanan KRD pada minggu selanjutnya.

Artikel Berkaitan: