Padah buat laporan palsu lindungi isteri tiada lesen memandu

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menyusahkan pihak polis untuk menyiasat laporan palsu tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menyusahkan pihak polis untuk menyiasat laporan palsu tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Rabu, kerana membuat laporan polis palsu kononnya beliau merupakan pemandu sebenar dalam satu kemalangan bagi melindungi isterinya daripada disaman kerana tidak memiliki lesen memandu.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Faizal Mosnon, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda.

Mohamad Faizal didakwa telah melaporkan suatu laporan polis iaitu laporan trafik Gombak kepada seorang anggota polis, yang mana tertuduh mengetahui laporan polis itu adalah palsu.

Perbuatan tertuduh itu telah menyebabkan seorang penolong pegawai penyiasat trafik itu melakukan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh tertuduh, di mana anggota polis itu tidak akan melakukan siasatan sekiranya keadaan sebenar diketahui olehnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Trafik Gombak, Gombak di sini pada 2.43 petang pada 16 Mac lepas, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian berlaku satu kemalangan di Jalan Batu Caves Lama melibatkan dua buah kenderaan iaitu pemandu kereta Nissan dan pemandu kereta jenis Perodua yang dipandu oleh isteri tertuduh.

Rakaman percakapan telah diambil daripada ketiga-tiga individu itu termasuk tertuduh, namun keterangan tertuduh didapati bercanggah dengan kejadian kemalangan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh bukan pemandu sebenar bagi Perodua ketika kejadian berlaku dan dia mengakui bahawa isterinya adalah pemandu sebenar semasa kemalangan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Isteri tertuduh juga mengakui bahawa laporan polis yang dibuat oleh suaminya itu adalah palsu, bertujuan untuk melindungi dirinya daripada disaman kerana tiada lesen memandu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menyusahkan pihak polis, untuk menyiasat laporan palsu tersebut.

Peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minima, kerana isterinya tiada lesen semasa memandu.

“Anak guam saya membuat laporan polis bertujuan untuk membuat tuntutan insurans. Dalam kes ini isteri anak guam saya telah dikompaunkan saman trafik kerana gagal kawal kenderaan dan tiada lesen memandu,” katanya. - Bernama