Melaka larang pembakaran terbuka

Ghafaar (kiri) dan Rosli menujukkan gegantung kempen kesedaran pencegahan pembakaran terbuka selepas sidang akhbar di Menara Persekutuan, MiTC, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Ghafaar (kiri) dan Rosli menujukkan gegantung kempen kesedaran pencegahan pembakaran terbuka selepas sidang akhbar di Menara Persekutuan, MiTC, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri menguatkuasakan perintah larangan pembakaran terbuka sejak 22 Februari lalu berikutan cuaca panas dan kurang taburan hujan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, mereka yang didapati melakukan kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menerima 104 aduan kes pembakaran terbuka, sekali gus menunjukkan trend amat membimbangkan.

Katanya, selaras pengisytiharan larangan pembakaran terbuka, semua pihak dilarang sama sekali melakukan aktiviti itu atau membiarkan tanah dan premis mereka diceroboh pihak yang sengaja melakukan pembakaran terbuka.

"Kita juga meminta pemilik ladang berskala besar dan melakukan penanaman semula untuk menghentikan pembakaran kerana jika tidak dikawal, pembakaran boleh merebak dengan cepat, " katanya pada sidang akhbar di Menara Persekutuan, MiTC, Ayer Keroh pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JAS negeri, Rosli Osman.

Jelas beliau, sehingga kini JAS mengesan tiga lokasi titik panas yang boleh menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka membabitkan kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia

(MARDI) Kuala Linggi, Alor Gajah yang 31 hari tanpa hujan, Devon Estate di Jasin,17 hari tanpa hujan dan di Melaka Tengah membabitkan Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka(LTAM) yang tidak hujan selama 18 hari.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my," katanya.