Perhilitan buru buaya betina di muara Sungai Batu Pahat

Salman (kiri) menunjukkan 56 biji telur buaya yang ditemui di muara Sungai Batu Pahat pada Rabu.
Salman (kiri) menunjukkan 56 biji telur buaya yang ditemui di muara Sungai Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor melancarkan operasi menangkap seekor buaya tembaga betina yang dilaporkan sedang menjaga telurnya di muara Sungai Batu Pahat, dekat Kampung Parit Kangkung di sini.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, operasi itu dilancarkan susulan aduan orang awam yang ternampak buaya berkenaan beberapa kali sebelum ini.

“Aduan pertama diterima pada 10 Mac lalu yang menyatakan buaya berukuran kira-kira tiga meter panjang itu memasuki kebun kelapa sawit berhampiran muara sungai,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Salman berkata, buaya tersebut akan ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai, manakala 56 biji telurnya yang ditemukan akan dieram sebelum anak yang menetas dilepaskan ke lokasi lain.

“Ketika operasi hari ini (Rabu), pihak kami cuba menangkap reptilia itu namun ia melarikan diri, mungkin terkejut dengan kehadiran ramai orang.

“Tetapi kita yakin dalam masa dua atau tiga hari lagi buaya itu akan kembali semula ke sarangnya kerana tabiat buaya akan menjaga sarang dan anak atau telurnya sehingga menetas,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: