Lebuh raya baharu ke utara bakal dibina

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sebuah jajaran lebuh raya baharu sebagai laluan alternatif ke utara akan dibina bagi mengurangkan kesesakan dan kadar kemalangan yang sering berlaku di Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembinaan jajaran lebuh raya itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat pembinaan dan tidak membabitkan sebarang dana daripada kerajaan negeri.

"Kita menerima cadangan daripada sebuah syarikat pembinaan untuk membina satu jajaran lebuh raya baharu yang boleh melencongkan daripada PLUS bermula dari Gopeng hingga Kuala Kangsar tanpa melalui Terowong Menora.

"Kerajaan negeri tiada halangan malah kita menyokong cadangan tersebut kerana ia tidak melibatkan pembiayaan dan perbelanjaan kerajaan negeri kerana ia dalam bentuk PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani berkata, pembinaan jajaran lebuh raya itu nanti bukan bermakna laluan di Terowong Menora akan ditutup tetapi ia dibina bagi mengelakkan kesesakan atau sebagai jalan pintas sekiranya berlaku kemalangan di laluan terbabit.

Laluan di sekitar Terowong Menora seringkali mengalami kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang mengambil masa begitu lama dan laluan itu turut merekodkan banyak kes kemalangan melibatkan pelbagai jenis kenderaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: