Pengarah syarikat didenda jual, miliki produk tidak berdaftar KKM

Azrul Ezulhisham dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan menjual produk tidak berdaftar dan memiliki produk tanpa notifikasi KKM dua tahun lalu.
 - Foto Bernama
Azrul Ezulhisham dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan menjual produk tidak berdaftar dan memiliki produk tanpa notifikasi KKM dua tahun lalu.
 - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pengarah syarikat produk kesihatan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan menjual produk tidak berdaftar dan memiliki produk tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua tahun lepas.

Majistret M Bharath menjatuhkan hukuman itu terhadap Azrul Ezulhisham Bistamam selaku Orang Kena Saman (OKS) mewakili Syarikat My Own Brand Sdn Bhd selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan OKS membayar denda RM6,000, RM3,000 dan RM3,000, masing-masing bagi pertuduhan pertama hingga ketiga OKS membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Azrul didakwa memiliki produk yang tidak berdaftar iaitu ubat kuat lelaki ‘Soloco’ yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 dan boleh sampai RM100,000 bagi kesalahan seterusnya.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, OKS didakwa memiliki dua jenis produk kecantikan iaitu ‘Renew 27 Cosmetics Cleanser’ dan ‘Renew 27 Cosmetics Day Cream’ tanpa notifikasi KKM mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta boleh dihukum menurut Peraturan 18A(15) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM25,000 dan boleh didenda hingga RM50,000 bagi kesalahan seterusnya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan PJU 3/43, Sunway Damansara Technology Park di sini, pada 9.30 pagi, 14 Julai 2019.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Selangor Mohd Syahnizam Mohd Kassim memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran terhadap tertuduh.

“Produk yang dijual di pasaran Malaysia perlu mendapatkan notifikasi dan berdaftar dengan KKM bagi memastikan kualitinya dan selamat untuk kegunaan awam,” kata Mohd Syahnizam.

Artikel Berkaitan:

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan itu adalah kesalahan kali pertama dan pihaknya telah mendapatkan notifikasi daripada KKM bagi dua produk kecantikan yang disenaraikan dalam pertuduhan. - Bernama