Pembangunan Sabah jauh ketinggalan akibat terlalu berpolitik

Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Pembangunan di negeri Sabah jauh ketinggalan berbanding negeri lain akibat pemimpin dan rakyatnya terlalu banyak berpolitik, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Justeru kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, sudah tiba masanya pemimpin serta rakyat negeri tersebut mengetepikan soal politik dan mengutamakan pembangunan negeri demi kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya.

"Peringkat pusat kita sudah adakan pilihan raya (umum) sebanyak 14 kali, di Sarawak baru 11 kali tapi kita di Sabah sudah 16 kali, terlalu banyak masa dihabiskan untuk pilihan raya menyebabkan kita hilang fokus untuk membangunkan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, meskipun belum sampai setahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran di negeri itu, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukannya untuk membantu rakyat termasuk membentangkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 iaitu kerangka hala tuju dan strategi bagi terus memacu ekonomi negeri dan sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata, pelan itu menggariskan tiga elemen utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

"Kita berhadapan realiti dan kedudukan ekonomi amat mencabar (ketika mengambil alih kerajaan negeri) kerana itu kerajaan bertindak segera menangani penyusutan pertumbuhan sektor serta subsektor tertentu dan mengenal pasti sumber baharu mengukuhkan serta meningkatkan hasil negeri.

"Pada masa yang sama, kedudukan sosioekonomi rakyat perlu diletakkan pada unjuran keutamaan melalui usaha yang menjurus kepada sasaran untuk meningkatkan ekonomi rakyat," katanya.

Bung Moktar berkata, kerajaan persekutuan juga telah meluluskan sejumlah RM600 juta bagi pembinaan jalan menghubungkan Serudong di Kalabakan, Tawau dengan Simanggaris di Kalimatan, Indonesia yang akan membawa perubahan besar dalam memacu sektor ekonomi negeri.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu beliau mengajak pemimpin dan rakyat mempertahankan momentum kerjasama bagi memastikan apa yang dirancang oleh kerajaan dapat dilaksanakan sepenuhnya demi kebaikan negeri dan rakyat secera keseluruhannya.

GRS terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS) dan Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) serta Parti Bersatu Saba

- Bernama