1,219 kes positif Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia merekodkan 1,219 kes baharu Covid-19 selain dua kematian dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, 1,346 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 di negara ini sebanyak 310,958 sementara angka keseluruhan kematian kini berjumlah 1,220 kes.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini (Rabu), 1,212 merupakan kes tempatan melibatkan 769 warga tempatan dan 443 bukan warganegara sementara tujuh lagi adalah kes import,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, tiga negeri yang merekodkan kes tertinggi adalah Selangor dengan 499 kes, diikuti Sarawak (225 kes) dan Johor (169 kes).

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 154 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 64 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kes kematian pada Rabu melibatkan warga tempatan iaitu lelaki berusia 78 tahun dan wanita berumur 58 tahun dengan masing-masing menghidap penyakit kronik.

Beliau berkata, terdapat 12 kluster baharu dikenal pasti dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan lapan kluster tempat kerja dua kluster komuniti, manakala masing-masing satu kluster pusat tahanan dan import.

"Kluster tempat kerja melibatkan Kluster Subang Dua, Kluster Jalan Lada Sulah, Kluster Meranti Jaya di Selangor; Kluster Jalan Merpati (Sarawak); Kluster Kayu Gading (Johor); Kluster Jalan Perdana (Negeri Sembilan) dan Kluster Long Yunus serta Kluster Banggol Sepah di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Kluster komuniti pula ialah Kluster Jalan Hang Tuah di Johor dan Kluster Taman Ria Enam (Sabah), sementara Kluster Tembok Muhasabah (Johor) melibatkan pusat tahanan, manakala Kluster Andromeda (Johor) pula melibatkan import," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat ini ialah sebanyak 429 dengan 58 daripadanya mencatatkan pertambahan kes pada Rabu.

Katanya, kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada Rabu ialah Kluster Subang Dua (146 kes), Kluster Jalan Setia Jaya (57 kes) dan Kluster Kompleks Perabut (43 kes).

"Jumlah kluster yang telah tamat pula ialah 838 kluster termasuk 11 yang tamat pada Rabu," katanya. - Bernama