Gadis cari bapa kandung jadi wali nikah

Nurhidayah Syahirah Radin berharap dapat menemui bapanya agar pernikahannya berjalan lancar.
Nurhidayah Syahirah Radin berharap dapat menemui bapanya agar pernikahannya berjalan lancar.
A
A
A

KUALA NERUS – Seorang gadis mencari bapa kandung untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada akhir bulan ini.

Nurhidayah Syahirah Radin Abdul Rahim, 21, dari Kampung Tok Jembal, di sini buntu untuk mengesan bapanya yang dikenali sebagai Abdul Rahim kerana tiada sebarang maklumat mengenai lelaki tersebut.

Menurut Nurhidayah Syahirah Radin, dia dipelihara oleh ibu dan bapa angkatnya, Hamidah Besar dan Radin Ikon sejak berusia lima hari.

“Mak beritahu kawan dia serahkan saya ketika umur lima hari selepas ambil saya dari ibu kandung. Malangnya kami juga sudah terputus hubungan dengan kawan mak dan tidak dapat cari maklumat.

“Apa yang saya tahu, saya dilahirkan di Johor dan ibu kandung bernama Rosnani Mat Ali, mungkin ibu dan bapa kandung saya tinggal di sana,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Gadis itu berkata, dia hanya mengetahui dirinya anak angkat ketika bersekolah selepas menyedari nama yang didaftarkan berbeza dengan nama bapa angkatnya.

Bagaimanapun, dia tidak dapat mencari keluarga kandung berikutan kekurangan maklumat mengenai mereka.

“Oleh itu, saya harap sekiranya ada individu yang tahu mengenai bapa kandung saya dapat hubungi talian 014-2117028 supaya urusan pernikahan dengan Che Ahmad Azizi Ahmad, 22, dapat berjalan lancar,” katanya.

Artikel Berkaitan: