Bilangan jemaah solat Jumaat di Wilayah Persekutuan diperluas

MOHD AJIB ISMAIL
MOHD AJIB ISMAIL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan jemaah bagi solat Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diperluaskan ke semua ruangan masjid serta surau berkuat kuasa Khamis.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kebenaran tersebut juga termasuk ruang di bawah khemah dengan mengamalkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Menurutnya, penetapan terkini itu diputuskan selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meliputi solat Jumaat, solat fardu dan pengimarahan masjid.

"Bilangan jemaah bagi solat fardu adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

"Bagi aktiviti pengimarahan, masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan mengadakan aktiviti seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan lain-lain dengan jarak fizikal sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan terdapat beberapa aktiviti pengimarahan Ramadan dibenarkan dilaksanakan termasuk tarawih, tadarus dan qiamullail.

"Had jemaah bagi solat sunat tarawih adalah mengikut kapasiti masjid dan surau. Ia hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah-surah atau ayat-ayat pendek.

"Sementara tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih.

Artikel Berkaitan:

"Tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus daripada kapasiti dewan solat utama.

"Sementara qiamullail boleh dilaksanakan iaitu 30 minit sebelum waktu imsak," katanya.

Katanya lagi, jamuan berbuka puasa atau iftar dan moreh tidak dibenarkan.

"Pihak jawatankuasa digalakkan memberikan sumbangan berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan dan petugas barisan hadapan secara berbungkus serta dihantar terus kepada penerima.

"Moreh tidak dibenarkan tetapi jawatankuasa kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas tarawih untuk dibawa pulang oleh jemaah," katanya.

Sementara bagi proses pembayaran zakat pula katanya, bayaran boleh dilakukan secara manual, terus kepada amil, pembayaran secara dalam talian atau kaedah yang ditetapkan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Semua ketetapan terbaharu ini adalah tertakluk kepada Garis Panduan yang ditetapkan serta prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.