Tiada tawaran rumah PPR kepada warga Myanmar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada sebarang tawaran rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada warga Myanmar yang menduduki kawasan Bukit Malut, Langkawi.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Kedah, kerajaan negeri tidak pernah membuat kenyataan yang menjurus kepada maksud menawarkan rumah PPR kepada warga Myanmar yang menduduki kawasan Bukit Malut sebagaimana laporan sebuah akhbar.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ataupun mana-mana wakil sah kerajaan negeri di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ataupun pegawai-pegawai kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu.

"Perlu juga dijelaskan bahawa PPR sebenarnya adalah bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukannya kerajaan negeri.

"Penglibatan kerajaan negeri khususnya Bahagian Perumahan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam urusan ini adalah sangat terhad iaitu menerima permohonan daripada rakyat Kedah yang layak khususnya anak jati Langkawi dan kemudian menyerahkan kepada KPKT untuk proses penapisan dan diberikan kelulusan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, Muhammad Sanusi juga telah menegaskan bahawa kerajaan negeri akan mengusulkan kepada KPKT untuk memastikan hanya anak jati Langkawi diberikan kelulusan menduduki PPR Hulu Melaka dan Kuah dalam wawancara radio pada Isnin lepas.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri menjawab berkenaan isu ini.

"Untuk makluman semua, CAKE akan membantah sekiranya PPR diberikan kepada warganegara Myanmar dan bukannya sedang membantah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kenyataan CAKE bukanlah andaian semata-mata kerana secara terang-terangan bahawa jawatankuasa pemilihan untuk permohonan PPR ini adalah kerajaan negeri.

Mohamad Yusrizal berkata, kenyataan ini hanyalah untuk memaklumkan bahawa CAKE akan membantah sekiranya rumah ini diberikan kepada warganegara Myanmar.

Tegasnya, CAKE merupakan satu pertubuhan yang melindungi hak-hak pengguna dan antara hak pengguna adalah hak untuk mendapatkan keselamatan.

Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya menegaskan kepada kerajaan Pusat dan negeri agar tidak memberikan rumah PPR ini kepada warga asing terutamanya warganegara Myanmar di Bukit Malut yang dianggarkan seramai lebih 10,000 orang.

"Jadi, sekiranya isu ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri yang merupakan jawatankuasa pemilihan, maka CAKE berlapang dada mengucapkan tahniah kerana tidak memberikan rumah PPR ini kepada warganegara asing," katanya.

Menurutnya, CAKE akan memantau dari masa ke masa mengenai isu warganegara Myanmar di Langkawi ini dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera oleh semua pihak demi kesejahteraan pengguna.