Amanat sama diberi selepas peralihan kerajaan

ABDUL HAMID
ABDUL HAMID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, amanat yang sama diberikan kepadanya selepas berlaku peralihan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, amanat yang diberikan itu adalah agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) fokus kepada menguatkuasakan undang-undang dengan adil.

“Dari satu sudut apabila saya dilantik sebagai Ketua Polis Negara, amanat yang telah diberikan oleh Perdana Menteri ketika itu untuk kembalikan semula imej PDRM dan meletakkan PDRM pada landasan yang betul atas menegakkan prinsip undang-undang.

“Begitu juga selepas berlaku peralihan kerajaan, amanat yang sama diberikan pada saya untuk PDRM fokus kepada menguatkuasakan undang-undang dengan adil,” katanya menerusi Program Bersama KPN yang disiarkan menerusi platform Sinar Harian pada Rabu.

Program itu dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar di Karangkraf.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menegaskan, apa sahaja bentuk kerajaan atau perubahan kerajaan, institusi polis mestilah dilihat di tengah-tengah dengan misi mendaulatkan undang-undang.

“Sekiranya PDRM dipergunakan untuk tujuan-tujuan politik yang sempit atau luas, tidak baik untuk negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam wawancara yang berlangsung selama satu jam itu juga, Abdul Hamid turut ditanya adakah beliau ‘blue eyed-boy’ kepada sesiapa sewaktu dilantik ke jawatan Ketua Polis Negara.

“Ada pihak dengan kritikan-kritikan nakal memberikan label kepada saya sebagai ‘blue eyed-boy of Tun Mahathir’.

"Saya dah terangkan sebelum ini bahawa saya dilantik oleh Perdana Menteri ketika itu atas nilai-nilai tertentu,” jelasnya.