'Ini bukan negara komunis'

Khalid menunjukkan keratan akhbar yang mengandungi artikel berkenaan kenyataan Takiyuddin pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam pada Rabu.
Khalid menunjukkan keratan akhbar yang mengandungi artikel berkenaan kenyataan Takiyuddin pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang ditubuhkan pembangkang tidak berlandaskan undang-undang didakwa sebagai angkuh serta mengabaikan hak rakyat.

Pengerusinya, Khalid Samad berkata, beliau kecewa dengan dakwaan Takiyuddin yang mengatakan jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa untuk memperjuangkan hak rakyat.

Beliau berkata, dakwaan itu seolah-olah ingin 'mendiamkan' bantahan terhadap proklamasi darurat tersebut.

"Memang betul, jawatankuasa ini tidak ditubuhkan oleh kerajaan, tapi untuk mengatakan kami tidak berkuasa, itu adalah satu sikap yang memperlekehkan falsafah demokrasi yang mana rakyat sepatutnya berkuasa.

"Ini bukan negara komunis ya, Takiyuddin," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Khalid tubuh jawatankuasa kumpul petisyen tamat darurat

Dalam pada itu, Khalid menempelak kenyataan Takiyuddin yang tidak mencerminkan kredibilitinya sebagai seorang menteri dan peguam yang sepatutnya lebih arif tentang Perlembagaan Malaysia.

Ujarnya, walaupun ada jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan, tidak bermakna rakyat semestinya hanya mengikut kehendak kerajaan dan menyuarakan bantahan mereka melalui pihak tersebut.

"Dalam sistem demokrasi, rakyat berhak untuk bersuara melalui badan kerajaan atau bukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai Menteri Undang-Undang dan seorang peguam, beliau sepatutnya lebih memahami asas perlembangaan kita adalah sistem demokrasi berparlimen yang mana suara rakyat adalah antara paksi kenegaraan," katanya.

Pada Jumaat, satu Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat ditubuhkan bagi mengumpul petisyen supaya pengisytiharan darurat ditamatkan segera.

Khalid berkata, beliau tidak meletakkan angka tandatangan yang bakal dikumpulkan namun menyasarkan untuk menyerahkan petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum Ramadan.