Rasuah: Pegawai Imigresen dipenjara 10 hari, denda RM10,000

Tertuduh (kiri) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Tertuduh (kiri) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN- Seorang pegawai Imigresen dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3,950 dua tahun lepas.

Tertuduh Mohamad Jeffry Mohd Zin, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 di Bahagian Kawalan Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, Selangor telah diberikan wang suapan berjumlah RM3,950 oleh orang tengah yang menguruskan kemasukan warga asing dari China.

Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik pihak ketiga melalui mesin deposit tunai bagi melepaskan warga asing itu daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamik Bank cawangan Taman Semarak, Nilai pada 3 Januari 2019.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda sebanyak RM10,000, jika gagal bayar tertuduh boleh dikenakan 12 bulan penjara.

Mahkamah turut membenarkan untuk melucut hak pelbagai aset termasuk duit berjumlah RM449,658.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.