Kompaun ingkar SOP, kerajaan perlu bersikap adil

LAM THYE
LAM THYE
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa kerajaan untuk bersikap lebih adil dalam melaksanakan hukuman kompaun sehingga RM10,000 jika melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, hukuman yang dikenakan kepada mereka haruslah setimpal dengan jenis kesalahan yang dilakukan dan tidak perlu memberikan kompaun tinggi kepada kesalahan kurang serius.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar kerajaan memperincikan kesalahan-kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan Ordinan Darurat yang berkaitan Akta Pencegahan dan Kawalan penyakit.

“Sebagai contoh, hukuman kompaun yang tinggi ini perlulah dikhaskan buat mereka yang melakukan kesalahan yang berulang-ulang atau lebih daripada tiga kali untuk satu jenis kesalahan.

“Mereka inilah yang dikira sebagai sengaja mencabar undang-undang dan perlu dikompaun secara maksimum. Pelaksanaan begini bagi mempraktikkan denda yang setimpal dengan hukuman yang dilaksanakan.

“Pelaksanaan kompaun harus diteliti dengan terperinci. Kerajaan boleh membuat satu rumusan berkaitan kesalahan yang dilakukan seperti tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi penjarakan sosial dan dengan sengaja menghadiri aktiviti berkumpulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, perincian denda juga perlu ditetapkan setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

Katanya, keadilan perlu ditegakkan dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan pelaksanaan tersebut adil dan saksama kepada semua.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah lebih baik daripada kita mengenakan kompaun kepada semua jenis kesalahan kerana ia bersifat tidak adil. Sistem hukuman yang dilaksanakan seharusnya bersikap adil.

“Walaupun hukuman yang dikenakan sebanyak RM10,000 boleh dikemukakan rayuan, tetapi ia menambah beban KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dalam menguruskan hal pengurangan bayaran ini,” ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan perlu menetapkan denda setiap kesalahan yang dilakukan bagi memudahkan semua pihak dan mewujudkan sistem hukuman yang lebih adil serta tidak membebankan.