Dibelasah gara-gara terlanggar kereta tepi jalan

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki cedera dibelasah sekumpulan lelaki gara-gara kereta dipandunya terlanggar dua buah kenderaan di Jalan Dato Shahbudin 3, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, mangsa berusia 30 tahun yang menaiki Perodua Myvi telah terlanggar Perodua Bezza dan Proton Saga yang diparkir di bahu jalan sebelum didatangi lima lelaki termasuk penghuni rumah serta pemilik kereta terbabit.

"Mangsa kemudian telah dipukul secara berkumpulan sehingga cedera di muka dan badan.

"Mangsa kini masih dirawat di Hospital Pantai Klang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat, kira-kira jam 1 pagi, pada Isnin, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menahan lima suspek terbabit berusia lingkungan 22 hingga 29 tahun.

Katanya, berdasarkan siasatan suspek mengaku telah terlibat memukul mangsa disebabkan tidak berpuas hati kerana mangsa dikatakan tidak mahu bertanggungjawab di atas kerosakan kereta yang dilanggar.

"Siasatan masih dijalankan dan kesemua tangkapan sedang direman enam hari sehingga Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.