Doktor rugi RM10,000 kena tipu Macau Scam

Macau Scam. - Foto Sumber Internet
Macau Scam. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang doktor perubatan berusia 26 tahun kerugian hampir RM10,000 dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, wanita yang bertugas di sebuah hospital kerajaan itu menerima panggilan daripada 'pegawai LHDN' kira-kira jam 9 pagi.

"Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat perabot miliknya sebanyak RM16,800.25 tetapi panggilan itu kemudian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Nizam' menyambut panggilan berkenaan sebelum disambungkan kepada pegawai polis Bukit Aman," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dimaklumkan namanya dikesan terlibat jenayah penyeludupan dadah.

"Suspek terus meminta mangsa menyerahkan nombor akaun dan kata laluan bank miliknya dengan memberi alasan untuk semakan dengan Bank Negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

M Zambri berkata, mangsa dalam ketakutan dan bingung hanya mengikut arahan berkenaan.

"Beberapa jam kemudian selepas menyerahkan nombor akaun terima kata laluan tiga akaun bank miliknya, mangsa menerima mesej daripada Bank Negara bertanya sama ada bersetuju atau sebaliknya kesemua akaun bank miliknya tidak boleh digunakan sementara waktu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mengarahkan mangsa menjawab setuju dengan alasan untuk memudahkan siasatan lanjut dilakukan di Bukit Aman dan tanpa berfikir panjang, mangsa terus menjawab mesej tersebut sepertimana diarahkan suspek," katanya.

Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas menerima mesej daripada pihak bank mengenai beberapa transaksi ke akaun tidak dikenali berjumlah keseluruhan hampir RM10,000, kira-kira jam 6.30 petang pada hari sama dan terus membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," kata M Zambri.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan jangan sesekali mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau bank.