X

Kindly register in order to view this article
!

Hampir 4,000 jawatan di isi OKU dalam sektor awam

A
A

PUTRAJAYA - Hampir 4,000 jawatan di sektor awam kini diisi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU menetapkan bahawa setiap agensi hendaklah memastikan pengambilan OKU dibuat sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah pegawai dalam agensi tersebut.

"Dasar pengisiannya pula diuruskan oleh ketua perkhidmatan masing-masing,” kata JPA, kenyataan yang dikeluarkan merujuk kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berhubung peluang pekerjaan kuota satu peratus OKU di sektor awam.

Mahfuz semalam dilaporkan berkata kerajaan akan meneruskan usaha mencapai kuota satu peratus OKU dalam sektor awam.

JPA dalam pada itu berkata dasar itu diperluas meliputi pelantikan secara tetap, sementara, kontrak atau apa-apa kaedah pelantikan yang berkuat kuasa.

"Walau bagaimanapun, pencapaian dasar ini bergantung kepada permohonan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan atau melalui pengenalpastian oleh kementerian atau agensi di bawah kementerian,” katanya.

JPA berkata pelantikan OKU dibuat berdasarkan kriteria calon bagi memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam suatu skim perkhidmatan, kesesuaian calon dengan bidang tugas jawatan serta kemudahan yang disediakan oleh agensi yang berkenaan.

Hebahan peluang kerjaya turut dibuat kepada individu-individu OKU khususnya mereka yang berminat dan berkelayakan bagi mendapat peluang yang sewajarnya untuk memohon jawatan dalam sektor perkhidmatan awam melalui pihak-pihak berkepentingan seperti persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan yang mengendalikan kebajikan golongan OKU, katanya.

"Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan golongan OKU dalam pekerjaan selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 untuk meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan terbuka dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

JPA berkata pihaknya yakin bahawa terdapat ruang dan peluang untuk mewujudkan bentuk pekerjaan baharu yang lebih luas yang boleh dicadang dan didukung secara bersama antara sektor awam dan swasta.- Bernama