Tekanan punca remaja cuba bunuh diri

Abd Jalil, Tular video berhubung tindakan polis menyelamat remaja 16 tahun.
Abd Jalil, Tular video berhubung tindakan polis menyelamat remaja 16 tahun.
A
A
A

KUANTAN - Tekanan perasaan dipercayai menjadi punca seorang remaja cuba membunuh diri dengan terjun dari jejambat di Kilometer (KM) 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Berjaya Hills Bukit Tinggi, Bentong pada Selasa.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, itu antara hasil siasatan awal yang dilakukan oleh pihaknya terhadap remaja berusia 16 tahun itu.

Bagaimanapun katanya, remaja itu berjaya diselamatkan Ketua Polis Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar dengan menarik remaja perempuan itu ke belakang sambil dibantu anggota polis yang lain.

"Remaja itu juga ditenangkan Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman yang ketika itu berada di lokasi kejadian.

"Bagi saya tindakan ketua balai polis itu adalah satu peristiwa yang membanggakan kontinjen Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 40 buah Kenderaan Pasukan Kontinjen Pahang di Kuantan, di Alor Akar pada Rabu.

Pada Selasa, tular video seorang remaja berusia 16 tahun yang cuba terjun daripada sebuah jejambat di Kilometer 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bukit Tinggi, akibat kemurungan yang dihadapinya.

ARTIKEL BERKAITAN Polis halang gadis cuba terjun jejambat

Video berdurasi seminit 15 saat itu menunjukkan pegawai polis telah menyelamat remaja terbabit, sebelum ditenangkan oleh Norol Azali.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan remaja tersebut telah dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Sehubungan dengan kejadian itu, beliau menasihatkan remaja yang mempunyai tekanan perasaan perlu dirujuk kepada pakar.

"Kita tidak mahu kes seperti ini berlaku lagi, jadi remaja yang ada tanda kemurungan sila rujuk kepada pakar tertentu.

"Sekurang-kurangnya mereka dapat menenangkan pemikiran sekali gus tidak bertindak membahayakan diri mereka seperti cuba membunuh diri," katanya.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, Polis Pahang menahan dan menangkap seramai 1,410 individu yang melanggar arahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac tahun lalu.

Katanya, tangkapan tersebut termasuk mereka yang dikenakan kompaun dan dihadapkan ke mahkamah.

"Sebanyak 605 kes yang akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh setahun sehingga pada Rabu (17 Mac)," katanya.