Eddin akui Bersatu, Pas dan Gerakan di NS tidak kuat

Eddin Syazlee (empat dari kanan) bersama barisan pimpinan Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan.
Eddin Syazlee (empat dari kanan) bersama barisan pimpinan Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith mengakui parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Negeri Sembilan tidak kuat.

Namun katanya, beliau yakin ketiga-ketiga parti itu menjadi lebih kuat selepas bergabung di bawah PN.

"Saya setuju Bersatu, Pas dan Gerakan di Negeri Sembilan tak kuat. Tapi PN Negeri Sembilan kuat kerana kita terdiri daripada komposisi yang mewakili pelbagai kaum," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan ketiga-tiga parti itu di Negeri Sembilan pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Eddin Syazlee yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan berkata, kekuatan setiap parti itu tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya menurutnya, kekuatan itu boleh diterjemahkan melalui sokongan yang diberi rakyat terhadap kerajaan yang ditunjangi PN sehingga hari ini.

"Kita tak boleh kaji keputusan PRU14, itu isu lain. Kali ini kita tahu PN di Negeri Sembilan adalah sama konsepnya dengan PN yang ditunjangi kerajaan Pusat," katanya.

Eddin Syazlee berkata, PN negeri ini juga secara prinsipnya bersetuju untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya juga tidak menolak untuk mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) di negeri ini bagi memikirkan gerakan yang sesuai untuk mengelakkan perkara itu.

"Saya percaya PN tak menolak sebarang rundingan dan alu-alukan rakan kita dari BN jika difikirkan perlu untuk duduk berbincang.

"Mungkin kita boleh perhalusi secara bersama apakah gerakan yang sesuai kerana kita juga tahu secara asasnya PN dan BN mempunyai asas perjuangan yang tidak jauh beza," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika dapat dilakukan ia akan memantapkan lagi barisan yang bertanding dalam PRU15.

Selain itu katanya, selagi belum PRU15, PN negeri ini bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan BN, namun tertakluk kepada perkara yang akan dibincangkan serta persefahaman yang dicapai antara parti.

"Saya yakin PN Negeri Sembilan bermula hari ini akan terus maju ke depan.

"Sama ada dengan kerjasama dari BN atau tidak, saya yakin PN akan tetap diterima oleh rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau mengumumkan senarai pimpinan Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan yang menampilkan nisbah 8:8:2 iaitu lapan jawatankuasa dilantik daripada Bersatu dan Pas, manakala dua dari Gerakan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Datuk David Choong Vee Hing pula dilantik sebagai Naib Pengerusi.