Tiga tokan dadah ditahan

Mohd Haki (depan, tiga dari kanan) bersama sebahagian dadah yang dirampas susulan penahanan ketiga lelaki dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Kemaman pada Ahad dan Isnin.
Mohd Haki (depan, tiga dari kanan) bersama sebahagian dadah yang dirampas susulan penahanan ketiga lelaki dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Kemaman pada Ahad dan Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Tiga lelaki dipercayai pengedar dadah yang aktif di daerah ini sejak beberapa bulan lalu ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan pada Ahad dan Isnin lalu.

Penahanan pertama membabitkan lelaki berusia 44 tahun bersama dua jenis dadah disyaki syabu dan pil kuda di kawasan parkir perumahan berhampiran sempadan Kemaman-Kuantan pada jam 7.40 malam Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan menemukan satu peket serbuk atau ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dan 430 biji pil kuda dalam keratan tiub straw.

Menurutnya, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang di sini pada jam 12.15 pagi Isnin, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun.

"Hasil serbuan, polis merampas enam peket plastik berisi serbuk ketulan kristal disyaki syabu dan turut dijumpai satu plastik berwarna hijau yang di dalamnya terdapat empat peket plastik lut sinar juga berisi ketulan kristal disyaki syabu.

"Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau iaitu di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kesalahan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Rabu.

Mohd Haki berkata, dalam tempoh hampir tiga jam seterusnya iaitu jam 3 pagi, seorang lagi suspek berusia 35 tahun ditahan hanya pada jarak tiga kilometer dari lokasi kedua serbuan di Kampung Bukit Kuang di sini.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 13 peket plastik yang mengandungi dadah dipercayai syabu dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah yang dibuat susulan penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan dianggarkan berjumlah RM32,000.

"Siasatan awal mendapati kesemua barang terlarang tersebut adalah untuk pasaran kepada 'pengguna' di dalam daerah ini," katanya.